GLOBAL

Gempa Filipina: Tiada laporan rakyat Malaysia terlibat

PUTRAJAYA, 23 APR: Kementerian Luar hari ini mengesahkan setakat ini, tiada laporan tentang rakyat Malaysia yang terjejas akibat gempa bumi yang melanda Pulau Luzon, Filipina, semalam.

Wisma Putra dalam kenyataan hari ini turut menasihati rakyat Malaysia di Filipina, sama ada sedang melawat atau tinggal di kawasan yang terjejas, supaya sentiasa berwaspada serta mematuhi arahan daripada pihak berkuasa.

“Rakyat Malaysia yang memerlukan bantuan konsular juga dinasihati supaya menghubungi Kedutaan Malaysia di Manila,” jelas kenyataan itu.

Wisma Putra berkata, Kedutaan Malaysia di Manila sentiasa berhubung rapat dengan pihak berkuasa tempatan untuk mendapatkan nasihat dan maklumat terkini situasi.

Menurut laporan media, sekurang-kurang sembilan orang terbunuh dalam gempa bumi berukuran 6.1 pada skala Richter yang melanda wilayah Zambales di Pulau Luzon.

Beberapa kawasan turut terjejas termasuk Metro Manila, Bulacan, Batangas, Bataan, Pampanga, Baquio City, Cabanatuan City, Palayan City, Gapan City, Santo Domingo and Talavera, Nueva Ecija Baler dan Aurora.

– BERNAMA


Pengarang :