SELANGOR

Gerak ‘task force’ bancian kediaman kawasan rizab berisiko

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

GOMBAK, 13 APR: Kerajaan Negeri sedang menggerakkan satu pasukan bertindak atau ‘task force’ untuk menjalankan bancian terhadap kediaman penduduk di sekitar Gombak Setia, khususnya kawasan rizab berisiko tinggi.

Ahli Dewan Negerinya, Muhammad Hilman Idham berkata, pihaknya mahu memastikan setiap keluarga atau kediaman di kawasan terbabit berada dalam keadaan selamat dan sempurna bagi mengelakkan kejadian seperti ribut petir berulang.

Katanya, sebahagian besar penduduk yang menjadi mangsa kejadian itu menetap sama ada di rizab jalan, sungai atau hutan.

“Kita dalam peringkat membuat bancian untuk melihat dan menyenaraikan semua rumah serta keluarga yang tinggal dalam ketiga-tiga rizab ini selain melihat risiko yang mereka perlu hadapi.

“Anggaran mereka yang menetap di tanah rizab berisiko adalah sangat ramai di kawasan antara Batu 10 hingga 12 dan kebanyakan mereka tinggal di sana sudah lama, ada yang menetap lebih 40 tahun agak susah meminta mereka berpindah.

“Saya yakin dengan ketegasan dan komitmen Kerajaan Negeri khususnya dalam soal keselamatan serta kesejahteraan keluarga, mereka akan bersetuju,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Program Penyerahan Sumbangan Ehsan dan Penyerahan Kunci Kediaman Baharu kepada mangsa bencana, di Masjid Zakaria, di sini, malam tadi.

Pada masa sama, Muhammad Hilman berkata, pihaknya berjaya menawarkan 13 rumah kepada mangsa terjejas dalam kejadian ribut itu dan yakin untuk turut menawarkan kediaman sama jika penduduk bersetuju berpindah.

Beliau berkata, pihaknya juga sedang meneliti beberapa usaha pembangunan baharu di kawasan berkenaan termasuk untuk melebarkan jalan Gombak.

“Tawaran sama kepada kumpulan lain yang bersetuju untuk berpindah selain kita melihat pilihan lain dengan mengutamakan mereka memiliki rumah mampu milik seperti Rumah SelangorKu.

“Ada dalam kalangan mereka berada di usia muda masih berkemampuan membuat pinjaman perumahan, malahan ramai dalam kalangan mereka ini yang mahu kita utamakan supaya dapat beli rumah SelangorKu,” katanya.

FOTO: HAFIZ OTHMAN (SELANGORKINI)


Pengarang :