Selangorkini
NASIONAL

Giat kenal pasti rakan kongsi, tingkat ekonomi halal

KUALA LUMPUR, 4 APR: Malaysia terus giat mengenal pasti rakan kongsi bagi meningkatkan ekonomi halal walaupun berdepan ketidaktentuan politik dan ekonomi global.

Naib Presiden Perbadanan Pembangunan Industri Halal Sdn Bhd (HDC), Hanisofian Alias berkata, memandangkan keadaan ekonomi yang tidak stabil, adalah penting bagi pengeluar halal dunia menyokong dan saling melengkapi bagi mengekal dan mengembangkan perniagaan mereka.

“Kami tidak dapat menghasilkan segala-galanya secara bersendirian, oleh itu, kita memerlukan satu sama lain untuk membina daya saing dan menyediakan akses pasaran.

“Sebagai contoh, baru-baru ini kami menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Korea Selatan. Ini akan membolehkan kita mempelajari teknologi terbaharu mereka dan memasarkan produk negara di sana, manakala mereka juga akan mempelajari lebih lanjut mengenai halal dan boleh memasarkan beberapa produk mereka di Malaysia,” katanya kepada Bernama ketika ditemui pada Persidangan Halal Dunia ke-11 (WHC ) 2019 di sini.

Sebelum ini, beliau berkata Malaysia juga telah mengikat perjanjian serupa dengan Taiwan, Jepun dan Kesatuan Eropah.

Mengulas lanjut Hanisofian berkata, HDC juga menyasarkan India untuk menjadi rakan kongsi kerana negara itu merupakan antara 10 rakan dagang utama Malaysia tahun lepas.

“Kami melihat potensi besar untuk mengeksport bahan mentah halal dan barang pemprosesan makanan termasuk produk minyak sawit.

“Bagaimanapun, kita perlu melakukan kajian lanjut mengenai ekonomi India, tahap penerimaan dan akses pasaran sebelum membuat keputusan muktamad,” katanya.

Tahun lalu, jumlah eksport halal Malaysia berjumlah RM40 bilion berbanding RM43.4 bilion pada 2017.

Mengulas mengenai penerimaan halal, Hanisofian berkata masih ada jurang besar dalam pemahaman orang ramai mengenai makna halal dan logo halal, oleh itu masih banyak yang perlu dilakukan dalam berkomunikasi dan mendidik masyarakat dunia mengenai hal itu.

“Sesetengah masyarakat di dunia masih dipengaruhi oleh Islamophobia, tugas kami adalah untuk memberitahu mereka mengenai maksud halal, makna logo dan nilai yang dibawa.

“Salah satu cara adalah dengan menghubungkannya dengan Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

“Menggunakan platform seperti SDG, ia adalah titik permulaan bukan hanya mengenai halal memandangkan ia juga mengenai tanggungjawab dan kebertanggungjawaban kepada masyarakat setempat.

“Ini akan lebih diterima oleh orang bukan Islam,” katanya.

Persidangan tahunan dua hari yang bermula semalam bertema ‘Memupuk Ekonomi Halal yang Kukuh: Integrasi Global dan Amalan Etika’ dianjurkan oleh Kementerian Hal Ehwal Ekonomi dan dianjurkan oleh HDC.

– BERNAMA


Pengarang :