BERITA UTAMANASIONAL

Gnanaraja kena 68 tuduhan kes wang haram RM11.4 juta

KUALA LUMPUR, 8 APR: Ahli perniagaan, M. G. Gnanaraja yang sebelum ini didakwa menipu seorang pengarah urusan berhubung siasatan projek terowong dasar laut Pulau Pinang, didakwa lagi di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini.

Gananaraja, 38, didakwa atas 68 pertuduhan membabitkankan diri dalam aktiviti pengubahan wang haram berjumlah RM11.4 juta.

Gnanaraja yang memakai kot serba hitam yang sebelum ini bergelar ‘Datuk Seri’ namun telah ditarik balik gelarannya pada 13 Mac lepas, mengaku tidak bersalah atas kesemua pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Rozina Ayob.

Kesemua pertuduhan dibacakan dalam Bahasa Melayu, satu persatu secara bergilir-gilir oleh dua jurubahasa yang mengambil masa satu jam.

“Tak mengaku, yang Arif,” katanya ketika ditanya Rozina apakah pengakuannya terhadap pertuduhan-pertuduhan itu.

Mengikut pertuduhan pertama sehingga Ke-68, Gnanaraja didakwa telah menggunakan dan melupuskan wang berjumlah RM11.4 juta dari akaun bank CIMB Syarikat Bumi Muhibah Capital Holding Sdn Bhd, yang merupakan hasil daripada aktiviti haram melalui cek kepada dua organisasi, 26 buah syarikat, dan 10 individu.

Organisasi itu adalah Kementerian Dalam Negeri dan Lembaga Hasil Dalam Negeri, manakala syarikat pula antaranya Mattew Ong Association, Mulia Motor Corporation Sdn Bhd, Digital Tourism Sdn Bhd, Desa Home Theatre Sdn Bhd, CK Films (M) Sdn Bhd, dan Zenith Consulting Services Sdn Bhd.

10 individu itu ialah Tan Su Cheng, You Hui Koon, Koh Yee Phok, Lim Voi Heng, Lee Sue Wee, Teh Eng Soon, S. Jeewanathan, K.Thiagu, K. Boohalan dan Kee Bee Sim.

Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan di CIMB Bank Berhad, Cawangan KLCC, Menara Berkembar Petronas, Jalan Ampang di sini antara 28 Julai 2017 dan 18 Januari 2018.

Kesemua pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan juga denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram atau peralatan kesalahan atau RM5 juta mana-mana yang lebih tinggi.

Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Allan Suman Pillai menawarkan wang jaminan RM50,000 dengan seorang penjamin beserta cagaran sebuah hartanah bernilai RM825,000 milik keluarga mertua tertuduh di Cheras Business Centre serta syarat tertuduh perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah.

Allan turut memohon kes itu dipindahkan ke Mahkamah Sesyen Shah Alam, Selangor, untuk didengar dan dibicarakan bersama satu lagi kes yang dihadapi Gnanaraja, Rabu lepas, berhubung siasatan projek terowong dasar laut Pulau Pinang.

Peguam Datuk Geethan Ram Vincent yang mewakili Gnanaraja bersetuju dengan tawaran jaminan yang ditetapkan pendakwaan dan berkata pihaknya juga tidak membantah kes itu dipindahkan ke Mahkamah Sesyen Shah Alam.

Rozina membenarkan Gnanaraja diikat jamin RM50,000 beserta cagaran hartanah yang dikemukakan pendakwaan, dengan dua penjamin iaitu pemilik hartanah serta pasport diserah kepada mahkamah sehingga kes selesai.

Hakim itu juga membenarkan kes tersebut dipindahkan ke Mahkamah Sesyen Shah Alam dan tarikh sebutan semula ditetapkan pada 6 Mei di mahkamah tersebut.

Pada 3 April lepas, Gnanaraja didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam, atas tiga pertuduhan menipu seorang pengarah urusan membabitkan RM19 juta berhubung siasatan projek terowong dasar laut Pulau Pinang, dua tahun lepas.

— BERNAMA


Pengarang :