PBTSELANGOR

GO2 medium usahawan bangun jenama sendiri

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SUBANG JAYA, 24 APRIL: Inisiatif Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) melaksanakan Program GO2 Bantu Sales Kekal ‘Masyuk’ Lepas Raya memberi peluang kepada usahawan untuk membangunkan jenama sendiri melalui jaringan media sosial.

Timbalan Yang Dipertuanya, Zulkurnain Che Ali berkata, program itu membabitkan kerjasama dengan MyNIC Berhad iaitu agensi kerajaan di bawah Kementerian Komunikasi Dan Multimedia.

“Konsep kolaborasi yang ditawarkan adalah melalui pemberian 300 tiket seminar percuma berkenaan cara mempromosi produk masing-masing melalui aplikasi laman sesawang untuk tujuan pemetaan dan ‘branding’.

“Program ini membantu pengusaha atau peniaga membangunkan perniagaan di laman sosial seperti Facebook, Instagram dan Whatsapp,” katanya pada Karnival Seminar Bazar Ramadan MPSJ 2019, di Dewan Serbaguna MPSJ, di sini, semalam.

Turut hadir, EXCO Kesihatan, Kebajikan, Pemberdayaan Wanita dan Keluarga, Dr Siti Mariah Mahmud; Pengururs Besar Syarikat Best Marketing & Distributor Sdn Bhd, Mohd Firdaus Abdullah dan Ketua Pegawai Pemasaran MyNIC Berhad, Md Fariz Ahmad Sanusi.

Karnival yang berlangsung mulai 23 hingga 23 April itu disertai 1,810 peniaga yang berjaya mendapat kelulusan permohonan dalam talian bazar Ramadan MPSJ meliputi keseluruhan 16 lokasi bazar termasuk peniaga bazar berkelompok.

Karnival terbabit turut mengetengahkan beberapa aspek seperti Kempen Inisiatif Hijau Ke Arah Bazar Ramadan Mampan, Program Pembangunan Usahawan B40 MPSJ dan Anugerah Peniaga Contoh Bazar Ramadan MPSJ.


Pengarang :