PUTRAJAYA, 18 April — Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo menyampaikan ucapan pada majlis perasmian 5G Malaysia di Kompleks Perbadanan Putrajaya hari ini. –fotoBERNAMA (2019) HAK CIPTA TERPELIHARA
NASIONAL

Gobind: Kerajaan pastikan harga 5G munasabah

PUTRAJAYA, 18 APRIL: Kerajaan akan memastikan harga rangkaian teknologi generasi kelima (5G) yang bakal ditetapkan syarikat telekomunikasi adalah munasabah, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo.

Beliau berkata aspek harga dan kemudahan rangkaian hanya dapat ditentukan selepas pihaknya menerima laporan akhir yang disediakan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) berhubung ujian projek perintis 5G pada hujung tahun ini.

Projek perintis itu kini dijalankan di Putrajaya dan Cyberjaya selama enam bulan iaitu antara April dan Oktober tahun ini.

“Laporan itu akan dibentangkan kepada kerajaan bagi memastikan negara bersedia untuk melaksanakan jaringan dan teknologi kelajuan tinggi,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Pameran 5G Malaysia yang dirasmikan oleh Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad di sini hari ini.

Mengulas lanjut berhubung 5G, Gobind berkata pelancaran sebenar teknologi 5G di Malaysia dijangka pada 2021.

“Tapi kita akan tunggu sehingga laporan akhir yang akan menentukan apa dasar dan kekuatan yang perlu ditambah dengan pelaksanaan 5G dalam negara. Pelancaran sebenar mungkin pada skala lebih besar dijangka pada tahun 2021,” katanya.

Ditanya mengenai penggunaan teknologi 5G di kawasan pedalaman, Gobind berkata pihaknya sedang melihat keperluan itu melalui projek perintis yang akan mengkaji kaedah yang perlu dilaksanakan di kawasan pendalaman.

“Kita mahu lihat dari pelbagai aspek dan kebolehpakaian teknologi 5G di bandar dan di luar bandar. Inilah apa yang dimaksudkan dengan ujian (5G),” katanya. -BERNAMA


Pengarang :