NASIONALSUKANKINI

Gol ke-100 Indra Putra: AFC ucap tahniah

PETALING JAYA, 29 APR: Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) mengucapkan tahniah kepada Indra Putra Mahayuddin, pemain Kuala Lumpur yang menjaringkan gol ke-100 pada perlawanan Liga Super Sabtu lepas.

Bekas pemain negara itu adalah pemain pertama menjaringkan 100 gol dalam Liga Super yang dilancarkan pada 2004.

Setiausaha Agung AFC, Datuk Windsor John berkata, ia merupakan pencapaian hebat oleh pemain berusia 38 tahun itu.

“Bagi usianya yang mencecah 38 tahun itu, mempunyai keinginan untuk bermain dan menjaringkan gol…semua orang perlu mengucapkan tahniah kepada beliau kerana anda (pemain) boleh memasuki perlawanan dan bermain dengan baik…melakukan semua percubaan tetapi masih tidak dapat skor.

“Tetapi untuk beliau yang bermain begitu lama sejak dari pasukan kebangsaan dan masih bermain sehingga kini, serta beliau boleh menjaringkan 100 gol dalam banyak perlawanan, anda boleh tahu betapa bagusnya pemain ini,” katanya kepada pemberita pada Sidang Kemuncak Bola Sepak Dunia (WFS) peringkat Asia di sini, hari ini.

Indra Putra menjaringkan gol ke-100 beliau dengan serangan cantik pada minit ke-41 ketika menentang PKNS pada perlawanan di Shah Alam. PKNS kalahkan Kuala Lumpur 3-2.

SUMBER: BERNAMA


Pengarang :