Selangorkini
PBT SELANGOR

Harga promosi barangan kering kepada peniaga bazar di Sepang

OLEH SHEEDA FATHIL

CYBERJAYA, 8 APRIL: Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang) menawarkan harga promosi bagi barangan kering kepada peniaga bazar Ramadan di kawasan pentadbirannya, tahun ini.

Yang Dipertuanya, Mohd Fauzi Yatim berkata, usaha itu sebagai salah satu inisiatif dan keperihatinan MPSepang membantu peniaga membeli barangan keperluan untuk mengurangkan kos perbelanjaan yang semakin meningkat hari ini.

Katanya, tawaran itu dibuat hasil kerjasama dengan syarikat Best Marketing & Distribution Sdn Bhd,

“Kita optimis melalui kerjasama sebegini, ia dapat meringankan beban perbelanjaan peniaga, selain mampu menjana pendapatan lebih tinggi dengan menawarkan produk jualan berkualiti kepada pelanggan,” katanya.

Pada masa sama, beliau berkata, pihaknya masih meneruskan kempen pengurangan penggunaan beg plastik dan penyedut minuman plastik serta berharap penggunaan produk ‘biodegradable’ di bazar Ramadan dapat ditingkatkan.

“Ia penting kerana jika kita mempratikkan mulai sekarang untuk tidak menggunakan plastik, perkara itu akan menjadi biasa, sekali gus dapat meningkatkan kesedaran terhadap penjagaan alam sekitar,” katanya.

Selain itu, Mohd Fauzi berkata, pihaknya menggalakkan peniaga untuk menggunakan pembayaran melalui aplikasi dalam talian untuk menjimatkan masa dan menarik lebih ramai pelanggan.

 


Pengarang :