SELANGOR

Hari Terbuka YRMS dedah peranan TVET

OLEH ZAIM BADRUL HISHAM

KUALA SELANGOR, 27 APR: Hari Terbuka Yayasan Raja Muda Selangor (YRMS) 2019 di Kolej Antarabangsa INPENS membuka peluang masyarakat awam dan pelajar sekolah terhadap Sistem Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

Pengurusnya, Nurul Azwa Rodzi berkata, program julung kali dianjurkan itu juga menjadi landasan kepada penyelia TVET dan pemain industri membuka mata umum tentang peranan TVET sebagai pemacu ekonomi negara dalam melahirkan modal insan berkemahiran tinggi.

“Selalu bila ditanya pelajar, mereka akan jadikan TVET pilihan terakhir. Jadi kita nak beritahu pada mereka bahawa TVET juga memberi peluang dan potensi pekerjaan kepada mereka.

“YRMS ada buat program motivasi kerjaya kepada pelajar sekolah menengah yang bernama Self-Discovery Workshop untuk berkongsi pengetahuan mengenai TVET.

“Untuk makluman, kursus TVET yang disediakan oleh YRMS memang mempunyai kerjasama industri dan mereka sememangnya memerlukan tenaga mahir,” katanya ketika ditemui di Kolej Antarabangsa INPENS.

Terdahulu, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah berkenan mencemar duli merasmikan Hari Terbuka YRMS 2019 di Kolej Antarabangsa INPENS, di sini.

Pada masa sama, beliau berkata, selain pendedahan mengenai TVET, YRMS juga membuka peluang kepada pelajar sekolah untuk membina kemahiran TVET.

“Kita mula beri bantuan kepada pelajar umur 16 tahun kerana kita ada program bersama pelajar sekolah tingkatan empat dan lima. Kita beri peluang mereka bina kemahiran TVET di sekolah, supaya selepas SPM mereka ada dua sijil, SPM dan TVET,” katanya.

Azwa berkata, berikutan sambutan sangat memberangsangkan pada kali ini, pihaknya bercadang untuk meneruskan hari terbuka terbabit yang turut berkonsepkan pendedahan kepada TVET dan khidmat masyarakat.

 

 

 

 


Pengarang :