SELANGOR

HIJRAH: Usahawan perlu cemerlang bangun perniagaan dan keluarga

OLEH IZRIN MOHAMAD SAID

SHAH ALAM, 21 APRIL: Hijrah Selangor (HIJRAH) mahu golongan usahawan di bawahnya tidak hanya berjaya dalam perniagaan, tetapi turut cemerlang membangunkan keluarga masing-masing.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Roslim Md Akhir berkata, kebanyakan usahawan hanya mengejar untung semata-mata sehingga mengabaikan rumah tangga dan anak mereka turut terbiar.

“Ibu bapa perlu membimbing dan membentuk sikap murni kepada anak-anak supaya mereka tidak ketinggalan serta terbabit dengan gejala negatif.

“Justeru, di bawah HIJRAH kita akan menganjurkan pelbagai program seminar khusus untuk mereka yang bakal menduduki Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR), PT3 dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM),” katanya kepada SelangorKini.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Penutupan Kursus Kecemerlangan Akademik Anak-Anak dan Ceramah Keibubapaan Usahawan HIJRAH di Dewan Auditorium, Perpustakaan Raja Tun Uda, di sini semalam.

Hadir sama, EXCO Pembangunan Usahawan, Pembangunan Luar Bandar, Desa dan Kampung Tradisi, Rodziah Ismail dan pakar motivasi, Dr Mohd Shukri Abdullah.

Pada masa sama, Roslim berkata, HIJRAH bakal berkolaborasi dengan Universiti Kebangsaan Malaysia dan Universiti Putra Malaysia untuk mengadakan program bagi memberi pendedahan suasana di institusi pengajian tinggi kepada anak-anak usahawan.


Pengarang :