NASIONAL

Hina Agong: Ketua Polis Negara diarah siasat segera

PUTRAJAYA, 12 APR: Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengecam keras paparan di Facebook (FB) yang dimuat naik oleh kumpulan mengelar diri mereka ‘Sabah-Sarawak Merdeka’ berhubung gambar yang didakwa menghina Yang di-Pertuan Agong di lamam sosial tersebut.

Menteri berkenaan, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata selain menghina Raja, tindakan menggubah gambar Yang di-Pertuan Agong adalah perbuatan yang melanggar undang-undang negara.

“Saya telah mengarahkan Ketua Polis Negara supaya menyiasat kes ini dengan segera dan mengambil tindakan yang sewajarnya untuk membawa pelaku jenayah itu ke muka pengadilan,” katanya dalam entri terbaru di laman FB miliknya hari ini.

Beliau berkata, kerajaan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang melanggar undang-undang negara dengan niat untuk mencetuskan keadaan yang tidak harmoni dalam masyarakat.

Beliau ​​​​​​​juga menyifatkan ia adalah satu perbuatan melampau yang tidak melambangkan tatasusila rakyat serta bercanggah dengan prinsip Rukun Negara.

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) juga dilaporkan sedang menjalankan siasatan bagi mengenal pasti pihak yang bertanggungjawab susulan imej yang menghina itu dimuat naik di laman FB semalam.

SUMBER: BERNAMA


Pengarang :