SUKANKINI

Hoki: Benteng pertahanan Malaysia rapuh

KUALA LUMPUR, 29 APRIL: Malaysia terlepas peluang awal untuk menggungguli Kumpulan B apabila seri 4-4 dengan China, pada perlawanan kedua Kejohanan Hoki Siri Final Lelaki FIH 2019 di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil di sini, malam tadi.

Kegagalan untuk melakarkan kemenangan kedua menyaksikan Malaysia kini ketinggalan dua mata di belakang Itali yang mengumpul mata penuh menentang China dan Brazil.

Bagaimanapun, skuad bimbingan Roelant Othmans perlu meraih kemenangan ke atas Itali esok untuk bergelar juara kumpulan sekali gus layak ke separuh akhir.

“Kami melakukan banyak kesilapan dan sebab itu China mampu menjaringkan empat gol menerusi pukulan sudut penalti.

“Barisan pertahanan tidak mantap dan pemain teruja untuk melakukan serangan,” kata Oltmans selepas perlawanan itu.

Malaysia memulakan perlawanan dengan aksi garang apabila membuka tirai jaringan seawal minit keeempat menerusi percubaan pukulan sudut penalti yang disempurnakan oleh Fitri Saari ​​​​​​​sebelum Muhammad Firhan Ashari menyumbang gol kedua menerusi jaringan padang pada minit ke-34.

China kembali bangkit untuk menandingi skuad negara apabila berjaya merapatkan jurang menerusi Lin Changliang pada minit ker-43 sebelum Ao Weibao menyamakan kedudukan pada minit ke-51.

Malaysia semakin tertekan pada pada waktu suku terakhir apabila Tengku Ahmad Tajuddin Tengku Abdul meletakkan skuad negara di depan pada minit ke-53 menerusi pukulan sudut penalti.

Namun, kedudukan hanya bertahan seminit sahaja apabila China menyamakan kedudukan menerusi Du Talake sebelum Tengku Ahmaf Tajuddin sekali lagi menghasilkan gol pendahulu pada minit ke-57.

Hanya tinggal seminit untuk permainan tamat, Dong Yong berjaya menafikan mata penuh mata buat tuan rumah dengan pukulan tepat menerusi percubaan pukulan sudut penati.

Sementara itu, jurulatih China, Kim Sang Ryul, bekas jurulatih veteran Korea Selatan, berkata mereka berpuas hati dengan keputusan seri memandangkan Malaysia merupakan pasukan yang kuat serta berpengalaman.

-BERNAMA


Pengarang :