SELANGOR

Hospital Serdang sedia pakir tambahan di MAEPS dengan bas perantara

OLEH NAZLI IBRAHIM

SERDANG, 5 APR: Orang ramai yang ingin ke Hospital Serdang boleh meletakkan kenderaan masing-masing di kawasan meletak kenderaan di Taman Pameran Pertanian Serdang Malaysia (MAEPS).

EXCO Kesihatan, Kebajikan, Pemberdayaan Wanita Dan Keluarga, Dr Siti Mariah Mahmud berkata, kawasan itu dijadikan tempat pakir Hospital Serdang berikutan lokasi pakir sedia ada tidak mencukupi bagi menampung jumlah kenderaan yang ada.

“Mana-mana hospital kita memang ada masalah pakir tetapi kita akan buat sebaik mungkin dengan menambah satu lagi tapak yang diambil daripada MAEPS untuk dijadikan pakir hospital.

“Sebenarnya kita kena ubah budaya kita di mana selalunya kita nak letak kenderaan betul-betul dekat sampai selesai urusan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media pada Program Ziarah Medik dan Pelancaran Mural Grafiti Selangor FM di Hospital Serdang di sini, hari ini.

Katanya, perkhidmatan bas perantaraan itu adalah percuma dan orang ramai hanya perlu membayar bayaran pakir dengan maksima RM8 sehari.

Siti Mariah berkata, selain meletakkan kenderaan di kawasan pakir di MAEPS, orang ramai juga boleh menaiki grab untuk ke hospital.

“Kita perlu hantar pesakit bersama anggota keluarga untuk menemaninya dan kemudian letak kenderaan di MAEPS atau jika pesakit tidak perlu ditemani mungkin boleh memilih menaiki perkhidmatan Grab,” katanya.


Pengarang :