SELANGOR

Hotel Concorde edar 8,000 bubur lambuk percuma

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 30 APR: Kira-kira 8,000 bubur lambuk secara percuma diedarkan kepada penduduk Shah Alam oleh Hotel Concorde, hari ini.

Pengarah Pemasaran dan Jualannya, Amilia Alias berkata, ia bersempena Program Tanggungjawab Sosial dijalankan pihak hotel sejak 14 tahun lalu.

Katanya, lebih 100 kakitangan yang terbabit memasak bubur bermula jam 7 pagi di perkarangan hotel.

“Sebanyak 24 periuk digunakan dengan 240 kilogram beras untuk memasak bubur lambuk kali ini.

“Matlamat utama kami ialah mahu meraikan Ramadan bersama dengan penduduk Shah Alam yang selama ini banyak menyokong Hotel Concorde sejak penubuhannya 21 tahun lalu,” katanya kepada SelangorKini ketika Program Bubur Lambuk, hari ini.

Amilia berkata, bagi mereka yang terlepas merasai keenakan bubur lambuk berkenaan, bolehlah merasainya di Melting Pot Cafe Hotel Concorde sepanjang Ramadan ini.

“Antara menu bubur lambuk yang ditawarkan ialah Bubur Lambuk Ayam Dara Lada Hitam, Bubur Lambuk Daging Batang Pinang dan Bubur Lambuk Makanan Laut,” katanya.

FOTO: ASRI SAPFIE (SELANGORKINI)


Pengarang :