NASIONAL

Hutang naik 1,100 peratus, perangkap besar FELDA

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 18 APRIL: Jumlah hutang FELDA yang meningkat dengan ketara sebanyak 1,100 peratus bermula 2007 adalah perangkap utama agensi berkenaan.

Timbalan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Dr Mohd Radzi Md Jidin berkata, kegagalan penyusunan semula hutang agensi pembangunan tanah itu bakal mendatangkan masalah besar buat negara apabila jumlahnya mencecah RM2.5 bilion, pada tahun ini.

Sementara tahun lalu, beban bayaran hutang dengan faedah yang perlu dibayar ialah RM1.4 bilion.

“Realitinya, bila FELDA ada duit, ia dihabiskan untuk membayar hutang sahaja, hakikatnya kewangan FELDA sangat kritikal.

“Dalam perniagaan, hutang dibuat atas alasan untuk mengembangkan perniagaan bagi menjana pendapatan masa depan. Tetapi di FELDA, kepimpinan lama (pentadbiran Barisan Nasional) tidak menjana keuntungan, sebaliknya ia terus jatuh dan menyebabkan FELDA pada waktu ini menanggung beban hutang yang cukup besar,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam Rancangan Soal Rakyat: Ke Arah Kelestarian FELDA di TV3, malam tadi.

Mengulas lanjut, Mohd Radzi berkata, sejak sedekad lalu, FELDA dikuasai pemimpin yang tidak berintegriti sehingga melakukan institusi berkenaan ibarat harta persendirian.

“Justeru, kerajaan akan memberi penekanan terhadap urus tadbir dalaman yang lebih kuat termasuk audit yang akan diperkukuhkan serta pemantauan penyata hutang peneroka.

“Perkara ini cukup mendalam dan akan diambil kira dalam membentuk FELDA baru, itulah perkara yang ditekankan,” katanya.

Minggu lalu, Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, membentangkan Kertas Putih bertajuk Ke Arah Kelestarian Lembaga Tanah Persekutuan (FELDA), di Dewan Rakyat.

Kertas itu dibentangkan ekoran kecelaruan pengurusan dan hutang melampau agensi itu yang melebihi RM8 bilion sehingga terpaksa menerima suntikan dana RM6.23 bilion.


Pengarang :