BERITA UTAMASELANGOR

Ibu bapa dorong kejayaan Amirul

OLEH SHAFIQQUL ALIFF

SHAH ALAM, 10 APR: Ibu bapa antara individu yang menjadi tulang belakang di sebalik kejayaan Muhammad Amirul Arif Abdul Raof sehingga merangkul gelaran Atlet Para Terbaik Kontinjen Selangor.

Muhammad Amirul,24, berkata, kedua ibu bapanya tidak pernah putus meniup kata-kata semangat sepanjang beliau beraksi dalam Kejohanan Sukan Para SUKMA XIX Perak, tahun lalu termasuk mana-mana kejohanan disertainya sebelum ini.

Katanya, jurulatih juga banyak memberi bimbingan dan tunjuk ajar sejak dari awal pembabitan dalam sukan olahraga, terutama ketika menjalankan sesi latihan sebelum berentap pada kejohanan berprestij itu.

“Setiap kali kejayaan saya adalah hasil sokongan kedua-dua ibu bapa yang selalu memberi sokongan, malah jurulatih turut menyokong saya dari bawah sampai ke tahap sekarang,” katanya ketika ditemui pada Majlis Insentif Para SUKMA XIX Perak 2018, di Hotel De’ Palma, semalam.

Sambil menahan rasa sebak selepas merangkul anugerah terbabit, Amirul Arif yang juga anak jati Selangor berkata, kejayaan itu memberi motivasi baharu kepadanya untuk terus bergiat aktif dalam sukan diminati.

Katanya, walaupun mengalami kekurangan fizikal, ia bukan alasan yang harus dipertikai umum untuk atlit sepertinya mengharumkan nama dalam sukan olahraga.

“Kejayaan ini menjadi motivasi untuk saya menjadi lebih baik pada masa akan datang supaya dapat mengekalkan status sebagai atlet terbaik.

“Ini pertama kali dalam sukan Para SUKMA saya berjaya mengutip tiga pingat iaitu dua emas dan satu perak masing-masing dalam acara lontar peluru, lempar cakera serta merejam lembing.

“Selain itu, saya ada mencipta rekod kebangsaan baharu dalam acara lempar cakera pada jarak 18.45 meter sekali gus memadamkan rekod lama iaitu 16 meter yang kekal selama dua tahun,” katanya.

 

 


Pengarang :