BERITA UTAMASELANGOR

Idaman: Revolusi industri rumah mampu milik

OLEH NORHAYATI UMOR

KAJANG, 6 APRIL: Tekad Selangor untuk merevolusikan industri perumahan mampu milik negara, kini dizahirkan melalui projek perumahan Idaman.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, solusi pemilikan kediaman terunggul buat rakyat Selangor itu adalah perkongsian pintar antara kerajaan dan swasta.

Katanya, selain menggunakan teknologi berinovasi tinggi, ia turut mendapat kerjasama erat institusi kewangan bagi pembiayaan pinjaman.

“Selangor sebagai penyumbang terbesar kepada kantung ekonomi negara bertekad untuk menjadi peneraju inisiatif pemilikan rumah mampu milik.

“Isu penawaran dan permintaan rumah tidak seimbang serta ketidakmampuan rakyat untuk membeli rumah adalah isu yang diteliti Kerajaan Negeri,” katanya pada Majlis Pelancaran dan Pecah Tanah projek Idaman Abadi, di Bandar Teknologi Kajang, di sini.

Katanya, projek Idaman yang usahakan Pemerbadanan Menteri Besar (MBI) Selangor itu menawarkan kediaman berkualiti, lokasi strategik, kawalan keselamatan dan penyediaan perkakasan separa lengkap.

“Projek ini berbeza dengan projek Rumah SelangorKu yang ditawarkan melalui Dasar Perumahan Rumah SelangorKu 1 dan 2.

“Melalui Idaman, kita turut memberi peluang kepada golongan berpendapatan sederhana (M40) memiliki rumah ,selain tidak meminggirkan golongan berpendapatan rendah (B40),” katanya.

Pada masa sama, Amirudin berkata, projek itu menyediakan 2,059 unit kediaman dengan 70 daripadanya diserahkan secara percuma kepada Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor untuk membantu B40.

“Manakala, 60 unit lagi ditawarkan kepada penjawat awam di Majlis Perbandaran Kajang,“ katanya.

Ia menawarkan unit kediaman berkeluasan lebih 1,000 kaki persegi, tiga bilik tidur, dua bilik air dan dua parkir kereta dengan harga bersih hanya RM250,000.

Setiap unit Rumah Idaman dibekalkan set televisyen, peti sejuk, kabinet TV, kabinet dapur, penyaman udara di setiap bilik dan pemanas air di bilik air.

Projek itu akan dimajukan di Kajang, Bangi, Ampang, Shah Alam, Cyberjaya, Dengkil, Setia Alam, Klang, Bandar Saujana Putra, Bandar Salak Tinggi dan Kuala Langat Utara.


Pengarang :