RENCANA

IKS mampu wujudkan banyak pekerjaan

KUALA LUMPUR, 29 APRIL: Janji kerajaan Pakatan Harapan untuk mewujudkan sejuta peluang pekerjaan dalam tempoh lima tahun boleh dicapai dalam jangka masa panjang jika ia dapat meningkatkan perbelanjaan pembangunan selain menggalakkan pertumbuhan industri kecil dan sederhana (IKS).

Dekan Fakulti Ekonomi dan Pengurusan Universiti Putra Malaysia Prof Dr Azali Mohamed berkata peluang pekerjaan dan kos sara hidup adalah antara isu kritikal yang kini membelenggui rakyat Malaysia.

“Jika kerajaan mahu mewujudkan peluang pekerjaan, ia perlu meningkatkan lagi perbelanjaan pembangunan.

“Ini boleh membantu sektor ekonomi yang merangkumi subsektor utama iaitu pengangkutan, perdagangan dan perindustrian, tenaga dan kemudahan awam serta pertanian,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Tunai janji

Janji PH untuk mewujudkan sejuta pekerjaan dalam tempoh lima tahun terkandung dalam manifestonya bagi Pilihan Raya Umum Ke-14 pada Mei lepas.

Awal bulan ini, Menteri Sumber Manusia M. Kula Segaran memberitahu Dewan Rakyat bahawa dalam tempoh lapan bulan selepas PH mengambil alih pentadbiran negara, peluang pekerjaan telah meningkat sebanyak 130,000.

“Sasaran satu juta (pekerjaan) tidak jadi masalah. Kita percaya pelbagai inisiatif yang dibuat oleh kerajaan baharu dapat memberi peluang kepada anak-anak kita untuk bekerja,” katanya.

Sambil menyifatkan sektor ekonomi sebagai enjin yang akan menjana pertumbuhan ekonomi dan mewujudkan lebih banyak pekerjaan di Malaysia, Azali berkata pertumbuhan subsektor utama seperti perdagangan dan perindustrian serta pengangkutan boleh menyerap masuk tenaga kerja terutama dari kalangan graduan.

Dalam Bajet 2019, sebanyak RM57 bilion diperuntukkan bagi perbelanjaan pembangunan dengan 52 peratus atau RM29 bilion disediakan untuk sektor ekonomi seperti pertanian, pembangunan sumber galian, perdagangan dan perindustrian, pengangkutan, perhubungan, tenaga dan kemudahan awam, penyelidikan dan pembangunan, tenaga, kewangan dan alam sekitar.

Beliau turut menyambut baik langkah kerajaan untuk meneruskan Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dengan jajaran baharu sepanjang 640 kilometer, yang menurutnya, mampu mewujudkan 80,000 hingga 100,000 peluang pekerjaan profesional, mahir dan separuh mahir untuk rakyat Malaysia.

Projek itu sememangnya akan mempercepatkan lagi pertambahan peluang pekerjaan dan membolehkan kerajaan mencapai sasarannya.

Mengupayakan IKS

Pada masa sama, Azali menggesa kerajaan supaya memberi perhatian kepada IKS yang, selaku tunggak utama ekonomi negara, mempunyai prospek dalam mewujudkan peluang pekerjaan.

“Kerajaan perlu menyokong dan membantu IKS secara agresif kerana ia menyediakan hampir 5.7 juta atau 70 peratus tenaga kerja di Malaysia,” katanya.

Terdapat lebih 900,000 IKS di seluruh negara dengan hampir 90 peratus daripadanya terlibat dalam bidang perkhidmatan. Sektor lain merangkumi pembuatan (5.3 peratus), pembinaan (4.3 peratus), pertanian (1.1 peratus) dan (perlombongan 0.1 peratus).

“Sekiranya kerajaan dapat memberi tumpuan kepada separuh daripada jumlah IKS yang ada, itu pun dapat membantu,” katanya.

Merujuk kepada pencapaian Korea Selatan pada 1970-an dan 1980-an, beliau berkata kejayaan negara itu dalam membangunkan IKS membuka banyak peluang pekerjaan untuk rakyatnya.

“Setakat ini, negara kita belum betul-betul serius untuk mengangkat dan mengupayakan IKS,” katanya.

Beliau berkata langkah mengupayakan IKS terutamanya dalam penghasilan produk makanan boleh membantu menangani kos hidup rakyat.

Antaranya dengan membantu IKS pertanian supaya dapat menghasilkan lebih banyak produk makanan, sekali gus menjamin bekalan makanan negara selain mengurangkan harga makanan dalam pasaran.

Permintaan pasaran

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF) Datuk Samsuddin Bardan berkata kira-kira 100,000 peluang pekerjaan diwujudkan setahun sedangkan seramai 260,000 belia menamatkan pengajian masing-masing setiap tahun.

Beliau berkata bidang pemasaran dan penjualan mempunyai banyak kekosongan jawatan namun, kebanyakan graduan tidak berminat menyertai bidang tersebut kerana ia tidak menawarkan gaji tinggi selain gaji dibayar mengikut jualan yang dibuat.

Menurutnya tawaran pekerjaan berdasarkan kontrak jangka pendek antara tiga hingga enam bulan juga terdapat dalam pasaran tetapi tidak menarik minat mereka yang sedang mencari pekerjaan kerana bimbang tiada jaminan pekerjaan dan kerjaya.

“Mereka yang sedang mencari pekerjaan sepatutnya merebut peluang yang ditawarkan itu dalam usaha meraih pengalaman selain mendapatkan pekerjaan yang lebih baik pada masa akan datang,” katanya.

Permintaan pasaran bagi tenaga kerja dalam bidang penyelidikan dan pembangunan, teknologi maklumat dan komunikasi, kejuruteraan elektronik dan telekomunikasi, reka bentuk grafik, analisis multimedia dan sistem sepatutnya dipadankan dengan program pembangunan modal insan yang bersesuaian.

“Bagi meningkatkan kemahiran tenaga kerja, pembangunan modal insan perlu digerakkan melalui transformasi pendidikan”, jelas Samsuddin.

Justeru itu, beliau menggesa kerajaan supaya meneruskan pembaharuan pendidikan dengan memberi penekanan kepada pembelajaran sepanjang hayat bagi melahirkan lebih ramai modal insan yang mempunyai pelbagai kemahiran.

Menurutnya peralihan negara daripada ekonomi berasaskan pengetahuan kepada ekonomi inovatif memerlukan modal insan yang mempunyai kemahiran kognitif.

“Pendidikan dan latihan sememangnya penting dalam melahirkan tenaga kerja yang mempunyai pelbagai peringkat kemahiran agar mereka dapat berfungsi dengan produktif.

“Industri juga harus saling bekerjasama dengan institusi pendidikan bagi memastikan program latihan sentiasa dikemas kini dalam usaha memenuhi kemahiran semasa dan masa hadapan,” katanya.

-BERNAMA


Pengarang :