Selangorkini
SELANGOR

Imigresen Selangor tahan 26 warga asing

SHAH ALAM, 9 APR: Jabatan Imigresen Selangor menahan 26 warga asing sekitar kawasan Sunway dan Kota Damansara dalam operasi bersepadu selama dua jam malam tadi,.

Pengarahnya, Mohamad Shukri Nawi berkata, operasi yang bermula pukul 11 malam tadi menyasarkan pondok pengawal keselamatan, pusat urut dan kawasan persekitaran awam.

Beliau berkata, seramai 60 warga asing diperiksa dalam operasi berkenaan, dan daripada jumlah itu 16 lelaki dan 10 wanita yang terdiri daripada warga Indonesia, Bangladesh, Myanmar, India, Nepal dan Vietnam yang berumur antara 20 dan 45 tahun ditahan atas pelbagai kesalahan imigresen.

Katanya di lokasi pertama yang merupakan pondok pengawal keselamatan dan kawasan persekitaran Sunway, seramai 35 warga asing diperiksa dan sembilan daripada mereka ditahan atas pelbagai kesalahan imigresen.

“Pesalah imigresen ini terdiri daripada pemegang Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) daripada sektor berlainan tetapi bekerja di sektor lain dan sebahagiannya adalah yang menggunakan Pas Lawatan Sosial yang tamat tempoh.

“Sasaran kedua pula merupakan kawasan persekitaran dan pusat urut di kawasan Kota Damansara, di mana 25 warga asing telah diperiksa dan 17 daripada mereka telah ditahan atas pelbagai kesalahan imigresen,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Menurut Mohamad Shukri, kesemua mereka yang ditahan telah dibawa ke Pejabat Bahagian Penguatkuasa Jabatan Imigresen Selangor untuk siasatan lanjut dan seterusnya akan ditahan di Depot Imigresen Semenyih.

Tambah beliau, kesemua mereka disiasat atas kesalahan mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak memiliki sebarang pas atau permit yang sah dan Seksyen 15(1)(c) Akta sama kerana tamat tempoh pas serta Peraturan 39(b), Peraturan-peraturan Imigresen 1963 kerana menyalahgunakan pas.

— BERNAMA


Pengarang :