NASIONAL

Industri halal perlu manfaatkan Revolusi Industri 4.0

OLEH NADIAH ZAMLUS

KUALA LUMPUR, 3 APR: Industri halal masa kini perlu menggunakan landasan Revolusi Industri 4.0 (IR4.0) yang kini sedang berkembang pesat.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof berkata, gabungan teknologi termasuk Internet of Thing (IoT), rantaian blok (blockchain), nanoteknologi, analisis ‘Big Data’ dan teknologi mudah alih di antara sektor yang boleh diterokai bagi memantapkan industri halal.

Katanya, contohnya, melalui penggunaan aplikasi telefon mudah alih berkaitan halal banyak membantu perkembangan industri berkenaan.

“Melaluinya, pelancong mampu mencari restoran halal, masjid dan arah kiblat dengan mudah.

“Pad masa sama, pihak bertanggungjawab dalam industri halal juga boleh mengeluarkan sijil halal menggunakan teknologi blok rantaian, yang bukan hanya mengeluarkan sijil halal itu sendiri, tetapi juga menyimpan semua rekod pengeluaran dan pengedaran oleh pengeluar halal terbabit,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan perasmian Sidang Kemuncak Halal Global (GHas 2019) di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) di sini, hari ini.

Mujahid berkata, GHas 2019 adalah penjenamaan semula program Minggu Halal Dunia, yang menghimpunkan pemikiran dan profesional dalam industri halal dunia dianjurkan sejak 2004.

Katanya, ia adalah acara berprestij yang membolehkan industri halal dibangunkan dan menjadi penyumbang utama ke arah pembangunan satu piawaian global halal.

“Saya percaya semua perwakilan akan mendapat manfaat daripada sesi perbincangan, sesi perkongsian pengetahuan, aktiviti padanan rangkaian dan peluang perniagaan, seterusnya meningkatkan lagi industri halal dunia,” katanya.


Pengarang :