BERITA UTAMANASIONAL

Insiden Colombo: Tiada rakyat Malaysia terkorban

PUTRAJAYA, 21 APRIL: Kementerian Luar mengesahkan tiada rakyat Malaysia dilaporkan terbunuh dalam beberapa kejadian letupan di Colombo, Sri Lanka hari ini.

Pengesahan itu susulan laporan letupan di beberapa lokasi termasuk gereja di ibu negara Sri Lanka berkenaan iaitu di Kochikade Church, Katuwapitiya Church, Shangri-La Hotel, Cinnamon Grand Hotel dan sebuah gereja di Batticaloa.

Setakat ini dilaporkan lebih 150 mangsa terkorban.

Dalam kenyataannya, Wisma Putra berkata, setakat 1.30 tengah hari waktu Malaysia, tiada rakyat negara ini dilaporkan tersenarai sebagai antara yang maut.

“Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya serangan itu dan berharap mereka yang bertanggungjawab terhadap jenayah tersebut akan dihadapkan ke muka pengadilan,” katanya dalam kenyataan.

Kementerian Luar turut menasihati rakyat Malaysia yang berada di kawasan berdekatan agar berhati-hati serta mengikuti perkembangah terkini menerusi laporan berita tempatan dan juga pihak berkuasa tempatan.

Menurut kenyataan itu, Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Colombo sedang memantau rapi situasi.

Mereka yang memerlukan maklumat lanjut atau sebarang bantuan boleh ke suruhanjaya itu di 45, Rosmead Place Colombo 07, Sri Lanka atau melalui talian 00-(94) 11 755 7711 (pejabat)/00-(94) 76 677 4445 /00-(94) 76 398 8777 serta e-mel [email protected]. -BERNAMA

 

 


Pengarang :