BERITA UTAMAGLOBAL

Insiden Sri Lanka: Angka kematian meningkat 290

COLOMBO, 22 APRIL: Angka kematian dalam kejadian beberapa siri letupan Sri Lanka, pada Ahad kini meningkat 290 orang, manakala lebih 500 cedera, lapor agensi berita Xinhua, memetik polis pada Isnin.

Laporan sebelum ini menyatakan seramai 228 terkorban dengan 450 cedera dalam sembilan serangan di tiga gereja dan empat hotel di seluruh negara.

Pihak berkuasa Pembangunan Pelancongan Sri Lanka berkata, dalam satu kenyataan pada Ahad petang berkata 32 warga asing antara yang terbunuh.

Jurucakap Polis, SP Ruwan Gunasekara, berkata 24 orang telah ditahan susulan insiden itu dan siasatan masih dijalankan untuk mengesan lebih ramai suspek.

Dua suspek ditahan di Dambulla di wilayah tengah pada Isnin pagi, kata jurucakap itu.

Perdana Menteri Sri Lanka, Ranil Wickremesinghe berkata semua yang ditahan adalah warga tempatan.

Presiden Maithripala Sirisena, yang berada di luar negara ketika kejadian berlaku, memanggil mesyuarat Majlis Keselamatan Negara pada awal Isnin.

Gunasekara berkata perintah berkurung di seluruh negara yang dikuatkuasakan pada Ahad petang ditarik balik Isnin pagi dan sistem pengangkutan awam juga kembali seperti biasa. Bagaimanapun, sekolah masih ditutup pada Isnin dan Selasa.

Tahap keselamatan di seluruh negara terus diperketatkan dan polis mengingatkan orang ramai lebih berhati-hati.

Bom paip yang ditemui berhampiran lapangan terbang utama di Colombo pada Ahad berjaya dimatikan pasukan udara Sri Lanka pada Isnin, kata polis.

Serangan itu bermula Ahad bagi di Gereja St. Anthony di Kochchikade di ibu kota Colombo dan di Gereja St. Sebastian di Negombo, di pinggir ibu kota manakala letupan ketiga dilaporkan di Gereja Zion di timur bandar Batticaloa.

Beberapa letupan turut menggegarkan tiga hotel lima bintang di Colombo manakala pada petang Ahad, satu letupan dilaporkan berlaku di sebuah hotel yang terletak bertentangan dengan sebuah zoo di Dehiwala manakala satu lagi di sebuah kompleks perumahan di Dematagoda, kedua-duanya di ibu kota.

Serangan itu merupakan insiden berdarah terkini di Sri Lanka sejak perang saudara berakhir 10 tahun lalu. -BERNAMA


Pengarang :