GLOBAL

Insiden Sri Lanka: UNAOC kutuk serangan pengganas

NEW YORK, 22 APRIL: Miguel Moratinos, wakil tinggi bagi Pakatan Ketamadunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNAOC) mengutuk sekeras-kerasnya beberapa siri serangan pengganas di Sri Lanka, lapor agensi berita China Xinhua memetik satu kenyataan.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan jurucakapnya Nihal Saad, Moratinos menegaskan bahawa “serangan pengganas yang keji itu tidak seharusnya menghalang kita daripada mengambil satu pendirian kolektif terhadap keganasan dalam semua bentuk.”

Beliau berjanji meneruskan usaha membangunkan Pelan Tindakan bagi melindungi tapak keagamaan untuk memberi jaminan kepada penganut bahawa mereka boleh melakukan ibadat dengan selamat atas semangat keamanan dan belas kasihan.

Setiausaha Agung PBB Antonio Guterres pada 22 Mac meminta Moratinos membangunkan satu pelan tindakan bagi melindungi tapak keagamaan dengan lebih baik susulan beberapa serangan pengganas ke atas tapak terbabit.

Beberapa siri serangan ke atas gereja dan hotel di Sri Lanka pada Ahad telah meragut lebih 200 nyawa serta mencederakan lebih 450 orang setakat ini. -BERNAMA


Pengarang :