SUKANKINI

Invest Selangor bakal anjur Selangor Corporate Colour Run

OLEH SHAFIQQUL ALIFF

SHAH ALAM, 23 APR: Invest Selangor Berhad (Invest Selangor) bakal menganjurkan Selangor Corporate Colour Run 2019 edisi pertama dengan kerjasama Kelab Rekreasi Invest Selangor (KRIS) di Stadium Shah Alam, di sini, pada 17 Ogos depan.

Pengarah Jabatan Perkhidmatan Korporatnya, Mohd Azuan Khairoji berkata, tujuan utama program itu dianjurkan adalah bagi meningkatkan tahap kesihatan masyarakat dan komuniti perindustrian di Selangor.

“Acara ini adalah landasan ideal di mana ianya baik bagi meningkatkan kesihatan tubuh badan supaya menjadi lebih sihat untuk semua lapisan umur.

“Menerusi larian ini, kita dapat merapatkan hubungan di antara Kerajaan Negeri dan komuniti perindustrian melalui persaingan sihat,” katanya.

Selain itu, larian terbabit dibahagi kepada dua kategori iaitu terbuka kepada awam melalui acara Competitive Run sejauh 5kilometer (km) dan kepada ketua pegawai eksekutif dan pihak pengurus syarikat serta penaja (3km).

“Kita menyasarkan seramai 3,000 peserta bagi mewakili pelbagai korporat dan komuniti perindustrian serta masyarakat khususnya di Selangor.

“Peserta turut dibekalkan t-shirt, medal, sijil penyertaan ‘running bib’ dan ‘sling bag’ selepas menamatkan larian terbabit selain berpeluang memenangi cabutan bertuah sebuah motosikal,” katanya.

Pendaftaran dibuka pada 7 Mac lalu hingga 20 Mei depan bagi kategori 5km dengan bayaran sebanyak RM55.00 (early bid) daripada harga biasa RM65.00.

Untuk maklumat lanjut mengenai acara itu, boleh menghubungi Azrul, Balqis atau Maryani di talian 03-55102005 manakala bagi sesiapa berminat menyertai acara boleh mendaftar secara dalam talian melalui laman sesawang https://www.checkpointspot.asia/


Pengarang :