NASIONAL

Isa Samad kekal pengakuan tidak bersalah

KUALA LUMPUR, 11 APRIL: Perbicaraan kes bekas Pengerusi FELDA, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad, yang didakwa atas satu pertuduhan pecah amanah dan sembilan pertuduhan rasuah lebih RM3 juta akan bermula di Mahkamah Tinggi di sini, pada 7 Oktober ini selama 13 hari.

Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali menetapkan tarikh berkenaan selepas Mohd Isa, 70, mengekalkan pengakuan tidak bersalah ke atas semua pertuduhan, di Mahkamah Tinggi di sini, hari ini.

Tarikh perbicaraan yang ditetapkan adalah 7 sehingga 9 Oktober dan bersambung 14 sehingga 25 Oktober.

Hari ini adalah sebutan kali pertama kes itu di Mahkamah Tinggi selepas kes berkenaan dibenarkan dipindahkan dari Mahkamah Sesyen ke Mahkamah Tinggi.

Terdahulu, Mohd Isa yang hadir ke mahkamah memakai kot kelabu dibacakan semula 10 pertuduhan itu satu persatu dan beliau berkata “minta bicara” ketika ditanyakan jurubahasa apakah pengakuannya terhadap semua pertuduhan itu.

Bagi pertuduhan pertama, Mohd Isa didakwa sebagai Pengarah Syarikat Felda Investment Corporation Sdn Bhd, yang diamanahkan dengan dana syarikat itu melakukan pecah amanah ke atas dana terbabit dengan meluluskan cadangan pembelian Merdeka Palace Hotel & Suites di Kuching, Sarawak dengan harga RM160 juta tanpa kelulusan Anggota Lembaga Pengarah FELDA.

Perbuatan itu bertentangan dengan keputusan Mesyuarat Anggota Lembaga Pengarah FELDA Bilangan 303 bertarikh 25 Jun 2013 yang dibuat berkenaan pelaksanaan amanah itu yang mana Anggota Lembaga Pengarah FELDA memberi mandat kepada Anggota Lembaga Pengarah Syarikat FIC Sdn Bhd dalam membuat keputusan pelaburan membabitkan projek bernilai RM100 juta ke bawah.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu di Tingkat 50, Menara Felda, Platinum Park, No. 11, Persiaran KLCC dekat sini pada 29 April 2014 mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua hingga ke-10, Mohd Isa didakwa menerima suatu suapan untuk dirinya iaitu wang tunai, yang kesemuanya berjumlah RM3,090,000.00 daripada Ikhwan Zaidel iaitu Anggota Lembaga Pengarah Syarikat Gegasan Abadi Properties Sdn Bhd melalui Muhammad Zahid Md Arip sebagai upah bagi membantu meluluskan pembelian Merdeka Palace Hotel & Suites di Kuching oleh pihak Syarikat FIC Sdn Bhd yang bernilai RM160 juta.

Dia dituduh melakukan kesemua kesalahan itu di Tingkat 49, Menara FELDA, Platinum Park, No. 11, Persiaran KLCC dekat sini antara 21 Julai 2014 dan 11 Disember 2015, mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Allan Suman Pillai memohon mahkamah mengekalkan jaminan RM800,000 yang dikenakan ke atas Mohd Isa ketika kali pertama didakwa di Mahkamah Sesyen sebelum ini.

Tiada sebarang bantahan dikemukakan Peguam Ridha Abdah Subri yang mewakili Mohd Isa.

Allan turut memaklumkan bahawa kesemua dokumen berkaitan kes itu diserahkan kepada pihak pembelaan mengikut Seksyen 51A Kanun Tatacara Jenayah namun katanya terdapat tiga dokumen yang tidak lengkap dan akan diserahkan dalam minggu ini.

Hakim Mohd Nazlan membenarkan Mohd Isa mengguna pakai jaminan terdahulu dan mengarahkan Mohd Isa menyerahkan pasport kepada mahkamah.

Mahkamah turut menetapkan 13 Mei untuk pengurusan kes. -BERNAMA


Pengarang :