GLOBAL

Israel cuba musnahkan masjid di Gaza – MAPIM

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 2 MAC : Tentera Israel cuba memusnahkan masjid di Gaza, itulah berita yang dikongsi Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM), Dr Ahmad Sani Araby.

Beliau berkata, lebih menyedihkan apabila masjid berkenaan adalah masjid sementara yang dibina selepas masjid asal musnah diserang tentera Zionis.

“Masjid Umar Abdul Aziz yang dibina MAPIM di Beit Hanun, Gaza telah dibom dan dimusnahkan.

“Kemudiannya penduduk membina masjid sementara bagi membolehkan penduduk Palestin menunaikan solat Jumaat.

“Tetapi akhirnya masjid iu juga cuba dimusnahkan. Zionis ingat kita akan berputus asa tapi sebaliknya, semua ini hanya akan menguatkan hati sukarelawan untuk terus membela bumi Gaza,” katanya.

Sani berkata, serangan itu adalah rentetan daripada ulangtahun pertama perarakan aman ‘The Great Return March’ oleh tentera Zionis pada Sabtu lalu, dengan berhimpun di sempadan Gaza.

Katanya, perarakan itu mengumpulkan kereta kebal selain meletakkan penembak tepat untuk berdepan dengan kanak-kanak Palestin.

“Mereka turut menyiapkan puluhan dron pesawat tanpa juruterbang dan kereta berperisai untuk berdepan wanita Palestin,” katanya.

Pada masa sama, MAPIM masih memerlukan RM3 juta untuk Tabung Kilat Bantuan Kemanusiaan Gaza.

Bantuan berkenaan khusus bagi pembelian ubatan terdesak, makanan serta bantuan kepada mangsa serangan yang kehilangan keluarga dan rumah.


Pengarang :