PBTSELANGOR

Isu denggi: MBSA keluar 114 kompaun

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 13 APR: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) mengeluarkan 114 kompaun terhadap premis yang didapati bersalah membiak jentik-jentik di bawah Akta Kerajaan Tempatan 1976.

Timbalan Datuk Bandar Shah Alam, Mohd Rashidi Ruslan berkata, pihaknya sudah mengadakan aktiviti pemeriksaan terhadap 5,293 premis di sekitar Shah Alam termasuk rumah kediaman, rumah kedai dan restoran.

“Kita turut melakukan aktiviti semburan atau ‘fogging’ di 316,997 premis dan sebanyak 3,381 rumah yang sudah diletak abate.

“Kita sentiasa membuat pemeriksaan dan akan bertindak lebih tegas terhadap premis yang didapati bersalah atas kesalahan membiak jentik-jentik,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Perasmian Gotong Royong Perdana Basmi Denggi anjuran Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan dan MBSA di Pangsapuri Rimau Perdana, Seksyen 32 yang disempurnakan EXCO Pemberdayaan dan Pembangunan Sosio Ekonomi dan Kerajaan Prihatin, V Ganabatirau, di sini, hari ini.

Sementara itu, katanya, berdasarkan statistik sejak awal tahun sehingga 6 April lalu, sebanyak 4,168 kes demam denggi dilaporkan berlaku di kawasan pentadbiran MBSA.

Oleh itu, beliau berkata, program gotong-royong dilaksanakan bertujuan untuk mendayakan komuniti berkaitan kepentingan kebersihan persekitaran dalam mencegah penularan penyakit demam denggi.

“Program sebegini juga dapat meningkatkan ‘sense of belonging’ (semangat kekitaan) dalam kalangan komuniti setempat selain mewujudkan kerjasama antara jabatan, agensi kerajaan dan bukan kerajaan serta komuniti terhadap penjagaan kebersihan persekitaran,” katanya.

FOTO: HAFIZ OTHMAN (SELANGORKINI)


Pengarang :