NASIONAL

Isu FELDA: Kerajaan komited bawa pesalah ke muka pengadilan

KUALA LUMPUR, 11 APR: Kerajaan komited mendedahkan pihak yang bertanggungjawab menyebabkan FELDA menanggung kerugian dan membawa mereka ke muka pengadilan.

Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, semasa di bawah pentadbiran Barisan Nasional yang dipimpin Datuk Seri Najib Tun Razak, banyak projek mewah dan kontrak melambung telah dimeterai oleh FELDA.

Katanya kebanyakan kontrak itu menjadi punca masalah kewangan yang dihadapi FELDA hari ini menyebabkan ia terpaksa mendapatkan bantuan kerajaan bagi memastikan ia boleh terus beroperasi dan ‘tidak karam’.

“Kita semua mengetahui bahawa dalam penipuan korporat, penyangak akan menyembunyikan tangan-tangan mereka dan memperlihatkan ia seperti satu transaksi komersil yang tulen.

“Semua pihak yang terlibat mesti dipertanggungjawabkan di atas perbuatan salah laku mereka,” katanya dalam kenyataan yang dipetik dari Facebook beliau hari ini.

Muhyiddin mengeluarkan kenyataan itu selepas pembentangan Kertas Putih FELDA oleh Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk sri Mohamed Azmin Ali di Parlimen, semalam.

Menerusi pembentangan itu, kerajaan menyediakan pakej kewangan kepada FELDA berjumlah RM6.23 bilion dalam bentuk geran, pinjaman dan jaminan secara berperingkat bagi memulihkan kepincangan dalam Felda, yang berpunca daripada tadbir urus korporat pengurusan lama.

Muhyiddin berkata, kerajaan mendapatkan khidmat firma akauntan Ernst & Young untuk melaksanakan ‘audit forensic’ bagi memahami masalah yang berlaku dalam FELDA, manakala FELDA juga telah mendapatkan khidmat firma guaman Lee Hishamuddin Allen & Gledhill.

“Penemuan kedua-dua firma ini mengesahkan bahawa FELDA telah menjadi mangsa penipuan dan pelanggaran korporat. Sebagai Menteri Dalam Negeri saya telah mengarahkan polis supaya menyiasat kes ini secara profesional tanpa rasa takut atau pilih kasih,” katanya.

— BERNAMA


Pengarang :