NASIONAL

Isu matrikulasi: Serah pada KPM cari mekanisma terbaik

OLEH ZAIM BADRUL HISHAM

HULU KELANG, 30 APR: Mekanisma penyelesaian terhadap isu matrikulasi perlu diserahkan kepada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), kata Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi berkata, secara prinsipnya semua anak-anak yang cemerlang harus mendapat tempat di Institut Pengajian Tinggi (IPT).

“Secara prinsipnya bagi saya mana-mana anak yang mendapat keputusan cemerlang, harus mendapat tempat dalam universiti. Mereka adalah aset negara yang perlu dijaga dan diberi akses pendidikan yang berkualiti.

“Bagaimanapun, mekanisma dan kaedahnya kita serah pada kementerian untuk melihatnya. Kini kementerian sedang berkerja keras ke arah usaha itu,” katanya.

Beliau berkata demikian, ketika ditanya mengenai isu kuota matrikulasi untuk bukan Bumiputera di Pangsapuri Taman Permai, di sini, semalam.

Minggu lalu, kerajaan bersetuju meningkatkan tempat bagi kemasukan ke matrikulasi kepada 40,000 tempat dan mengekalkan kuota kemasukan iaitu 90 peratus Bumiputera serta 10 peratus bukan Bumiputera.

Dalam perkembangan sama, Biro Hal Ehwal Universiti Pemuda DAP pula menyifatkan peningkatan pengambilan program matrikulasi terbabit akan mendatangkan lebih banyak masalah kerana bakal menghalang lepasan STPM memasuki universiti awam.


Pengarang :