SELANGOR

Isu muflis, ADN Morib ambil tindakan undang-undang

OLEH NORHAYATI UMOR

MORIB, 20 APRIL: Ahli Dewan Negeri Morib, Hasnul Baharuddin akan mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak yang menyebarkan maklumat palsu dan memfitnahnya dalam isu muflis, baru-baru ini.

Katanya, perkara itu sedang dibincangkan bersama peguamnya untuk tindakan lanjut.

Beliau turut menafikan terdapat salah guna kuasa dan penyelewengan dana awam seperti yang dilemparkan bagi menjelaskan hutang itu.

“Sebagai seorang manusia, saya juga berurusan dengan institusi kewangan. Pihak bank berkenaan sudah membatalkan notis itu.

“Namun, ada tohmahan mengatakan saya menggunakan dana awam sebanyak RM800,000 dan menyelesaikan hutang itu dalam masa dua hari, itu tidak benar,” katanya kepada SelangorKini.

Hasnul berkata, tindakan tidak bertanggungjawab itu menjatuhkan reputasinya dan kredilibiti sebagai wakil rakyat serta menerima pelbagai tohmahan.

“Saya tidak bayar apa-apa untuk menyelesaikan hutang itu. Premis yang dibeli pada 1999 itu sudah dibayar sebanyak RM280,000.

“Saya terpaksa melepaskan premis perniagaan itu kepada pihak bank kerana ia tidak mendatangkan keuntungan, jika teruskan saya akan rugi,” katanya.

Pada 22 Februari lalu, nama Hasnul tertera di notis Mahkamah Tinggi Shah Alam membabitkan sebuah bank, namun notis daripada Jabatan Insolvensi Malaysia menerusi keputusan pencarian kebangkarapan pada semalam menunjukkan statusnya tidak bangkrap.

“Notis dikeluarkan kerana pihak bank masih belum terima bayaran daripada pembida. Tiba-tiba notis keluar di akhbar tanpa menghubungi saya terlebih dahulu,” katanya.


Pengarang :