SELANGOR

IWB bakal laksana 133 program Jaringan Muafakat Wanita Berdaya

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 3 APRIL: Institut Wanita Berdaya (IWB) Selangor bakal melaksanakan 133 program Jaringan Muafakat Wanita Berdaya di tujuh lokasi terpilih sekitar negeri.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Siti Kamariah Ahmad Subki berkata, program itu julung kali diadakan di Kuala Selangor, pada 30 Mac lalu diikuti beberapa kawasan di Dengkil, Kapar, Kuala Langat dan tiga lokasi Felda terpilih sekitar Selangor, pada masa akan datang.

Katanya, program itu bertujuan meningkatkan martabat dan memperkasakan kaum hawa khususnya di kawasan luar bandar melalui kesedaran sivik dan pendidikan yang spesifik membentuk jati diri wanita berilmu, berpengetahuan serta berkeyakinan.

“Pihak kami turut memfokuskan lapan tajuk antaranya kesihatan dan hak reproduksi wanita, mengurus kewangan rumah tangga, persoalan ‘hygiene’, gangguan seksual, keganasan rumah tangga serta perlindungan kanak-kanak.

“Kita menyasarkan lebih kurang 4,000 wanita akan hadir pada program terbabit,” katanya ketika dihubungi SelangorKini.

Mengulas berkenaan perancangan IWB pada tahun ini, beliau berkata, pihaknya sedang bergerak ke arah beberapa penyelidikan antaranya tahap dan indeks keberkesanan program mikrokredit terhadap pemberdayaan ibu tunggal luar bandar.

Katanya, IWB Selangor turut menjelajah beberapa institut pengajian tinggi awam dan swasta sekitar Selangor bagi menganjurkan beberapa sesi Dialog Kesedaran Gender.

“IWB terus komited merangka polisi dan strategi pemberdayaan dan kemajuan wanita demi Selangor yang inklusif, lestari dan adil.

“Justeru, IWB berusaha menganjurkan beberapa program seperti Seminar Nasional Wanita dan Politik, Forum Kesaksamaan Gender, Forum Bandar Malaysia 2019 dan Sambutan Hari Wanita Selangor selain Majlis Penganugerahan Tokoh dan Pelancaran Buku Ceritalah Wanita yang sudah dilaksanakan sebelum ini,” katanya.


Pengarang :