SELANGOR

Jadi mata dan telinga, lapor aktiviti pembakaran terbuka

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 7 APRIL: Orang ramai digesa bertindak sebagai mata dan telinga kepada agensi kerajaan dalam melaporkan berkenaan sebarang aktiviti pembakaran terbuka.

Ahli Dewan Negeri Sungai Kandis, Mohd Zawawi Ahmad Mughni berkata, hal itu bagi mengelakkan insiden kebakaran yang besar dan berpanjangan.

Beliau berkata, di kawasannya masih terdapat pemilik tanah atau kebun yang berdegil serta melakukan pembakaran terbuka.

“Pembakaran terbuka akan menjejaskan kesihatan terutama kepada pesakit asma, radang paru-paru, sakit tekak, sakit mata, selesema dan batuk, kemusnahan habitat haiwan, hutan, pemanasan global dan jerebu.

“Oleh itu, selain melaporkan hal itu kepada jabatan bertanggungjawab, orang ramai juga diminta berkerjasama untuk memadamkan kebakaran kecil dan tidak membakar sampah di rumah mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Gambut Trail Run #StopOpenBurning, di Sekolah Kebangsaan Johan Setia, di sini.

Hadir sama, Pengarah Jabatan Alam Sekitar, Shafe’ee Yasin; Pengarah Urusan TNB Connaught Bridge Sdn. Bhd Klang, Muhammad Uzir Aspar dan Pengarah Samsung Electronics (M) Sdn. Bhd, Zulkifli Marsidi.

Pada masa sama, Mohd Zawawi turut mengingatkan semua pihak supaya tidak membiarkan tanah atau premis mereka dimasuki atau dicerobohi pihak tidak bertanggungjawab sehingga menyebabkan pembakaran terbuka sama ada dengan sengaja mahupun tidak.

Katanya, walaupun denda bagi kesalahan melakukan pembakaran terbuka itu tinggi, namun masih ada yang berdegil dan tidak takut melakukan kesalahan sama berulang kali.

“Tindakan undang-undang boleh dikenakan di bawah Seksyen 29(A), Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dan mereka yang disabitkan dengan kesalahan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM 500,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali.

“Kompaun maksimum RM2,000 juga boleh dikenakan atas setiap kesalahan, namun sikap pihak tidak bertanggungjawab itu seolah-olah tidak takut dengan hukuman yang bakal dikenakan,” katanya.

Gambut Trail Run itu diadakan di Johan Setia bersempena dengan kawasan tanah gambut mudah terbakar.

Penduduk kampung berkenaan adalah paling terkesan dengan pencemaran udara setiap kali musim panas dan kering akibat dari pembakaran terbuka.


Pengarang :