SELANGOR

JAIS tingkat pemantauan sempena Ramadan

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 24 APRIL: Jabatan Agama Islam (JAIS) komited melaksanakan aktiviti pemantauan dan penguatkuasaan sepanjang Ramadan, pada bulan depan.

Pengarahnya, Dato’ Haris Kasim berkata, penguatkuasaan itu akan dilaksanakan Bahagian Pengurusan Penguatkuasaan dan Bahagian Pengurusan Halal bagi memastikan kesucian Ramadan terpelihara.

“Antara aktiviti yang akan dilakukan ialah pemantauan premis makanan yang menjual makanan kepada umat Islam secara terbuka atau di tempat awam pada waktu siang.

“Ini termasuk penjualan makanan kepada mereka yang tidak berpuasa,” katanya.

Katanya, individu yang didapati menjual dan membeli apa-apa makanan, minuman atau merokok, boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 19 Tidak Menghormati Ramadan, Enakmen 9 tahun 1995 Enakmen Jenayah Syariah (Selangor).

Katanya, jika disabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM1,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya.

“Manakala, bagi kesalahan kedua atau berikutnya boleh didenda tidak melebihi RM2,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi setahun atau kedua-duanya,” katanya.

Pada masa sama, katanya, JAIS turut komited melaksanakan penguatkuasaan dalam memastikan tiada individu atau premis yang tidak mempunyai sijil halal mengambil kesempatan mempromosikan hidangan berbuka puasa atau ‘bufet Ramadan’.

“Sehubungan itu, JAIS menyeru kepada peniaga dan pengusaha industri makanan yang tidak mempunyai Sijil Pengesahan Halal Malaysia untuk mengemukakan permohonan dengan segera.

“Ia membolehkan promosi bufet Ramadan itu dilakukan dengan tatacara ditetapkan.

“JAIS juga tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap penyalahgunaan itu,” katanya dalam kenyataan.

Haris berkata, bagi tindakan itu, mereka boleh dikenakan denda tidak melebihi RM250,000 dan RM500,000 bagi kesalahan kedua dan berikutnya.

Justeru, katanya, orang awam diminta menghubungi pihaknya di talian 03-55143760 atau 3486 bagi melaporkan sebarang keraguan berhubung sijil halal.

 


Pengarang :