NASIONAL

Jajaran baharu ECRL: JAS belum terima laporan EIA

KUALA LUMPUR, 16 APRIL: Jabatan Alam Sekitar (JAS) masih belum menerima laporan Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA) daripada Kerajaan Persekutuan berhubung jajaran baharu Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).

Ketua Pengarah JAS, Datuk Dr Ahmad Kamarulnajuib Che Ibrahim berkata tiada tarikh muktamad yang ditetapkan untuk menyerahkan laporan berkenaan.

“Laporan EIA boleh diserahkan sekiranya kerajaan persekutuan sudah bersedia untuk membentangkannya kepada JAS. Tiada tarikh muktamad yang ditetapkan untuk menyerahkan laporan EIA tersebut,” katanya ketika ditemui selepas pelancaran majlis ‘Prime Minister’s Hibiscus Award 2019/2020’, di sini, hari ini.

Majlis itu dirasmikan Timbalan Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Inovasi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (MESTECC) Isnaraissah Munirah Majilis.

Jajaran baharu ECRL yang dicadangkan itu akan merentasi 20 stesen dari Kota Bharu melalui Kuala Terengganu, Kuantan, Mentakab dan diteruskan hingga ke Jelebu, Bangi/Kajang, Putrajaya Sentral serta Pelabuhan Klang.

Dalam pada itu, Kamarulnajuib berkata orang ramai yang ingin mengetahui mengenai 56 syarat yang membawa kepada kelulusan pembinaan Lebuhraya Pan Island Link 1 (PIL 1) di Pulau Pinang, boleh mendapatkannya di pejabat kerajaan negeri tersebut.

Katanya pihaknya juga akan mengambil tindakan sekiranya berlaku perlanggaran syarat dalam kerja-kerja pembinaan tersebut.

“Jabatan Alam Sekitar bertanggungjawab terhadap laporan EIA itu dan bukannya projek terbabit. Projek itu di bawah bidang kuasa kerajaan negeri…sekiranya ada apa-apa perlanggaran, kerajaan negeri harus memastikan mereka komited dan memenuhi syarat…kami akan mengambil tindakan terhadap sebarang perlanggaran syarat,” katanya.

Sementara itu, berucap pada majlis perasmian itu, Isnaraissah Munirah berkata anugerah itu akan terus memainkan peranan penting untuk menggalakkan beribu-ribu perniagaan di Malaysia, kecil dan besar, untuk mewujudkan dan mengguna pakai penyelesaian inovatif dalam menangani pertimbangan alam sekitar, ekonomi dan sosial, tonggak kepada kemampanan.

Anugerah itu dibuka untuk pendaftaran sehingga 30 Ogos ini. -BERNAMA


Pengarang :