Perkhidmatan ECRL menghubungkan negeri Pantai Timur seperti Kelantan, Terengganu dan Pahang serta Negeri Sembilan, Wilayah Persekutuan Putrajaya dengan Lembah Klang.
NASIONAL

Jajaran ECRL akan diubah-Loke

SEREMBAN, 7 APRIL: Jajaran projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) akan diubah dengan memberi manfaat kepada Negeri Sembilan, jika ia diteruskan selepas rundingan bersama kerajaan China, hujung bulan ini.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook yang mengesahkan perkara berkenaan berkata, keputusan itu dijangka dicapai dalam lawatan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad ke China yang antara lain akan membincangkan untuk mengurangkan kos pembinaan projek mega berkenaan.

“Saya sebagai Menteri Pengangkutan saya boleh sahkan apa dikatakan Menteri Kewangan Lim Guan Eng (semalam) memang betul projek ECRL sedang dirunding dan akan ada keputusan dalam beberapa minggu ini sebab Tun Dr Mahathir akan pergi ke China akhir bulan ini.

“Kalau berjaya confirm Negeri Sembilan akan dapat tempias kerana kita nak fokus pembangunan,” katanya dalam sesi ceramah Pakatan Harapan pada kempen Pilihan Raya (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau, di sini, malam tadi.

Semalam, Lim dalam ceramahnya pada kempen PRK DUN Rantau antara lain memberi bayangan projek berkenaan akan diteruskan sekiranya kos pembinaannya dapat dikurangkan sehingga RM35 bilion daripada kos asal RM66 bilion.

Beliau turut memberi bayangan bahawa jajaran sistem rel berkenaan akan berubah dan akan membawa manfaat untuk Negeri Sembilan. -BERNAMA


Pengarang :