GUA MUSANG, 17 April — Pegawai Tugas-Tugas Khas, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Adnan Ab Rahman (empat, kanan) bergambar selepas menyampaikan sumbangan kepada seorang penduduk Orang Asli pada penutup Program Dakwah dan Ramah Mesra Masyarakat Orang Asli di Kampung Mendrop, Pos Brooke, Gua Musang, hari ini.  — fotoBERNAMA (2019) HAK CIPTA TERPELIHARA
NASIONAL

JAKIM berjaya didik Orang Asli Islam

GUA MUSANG, 17 APRIL: Khidmat 50 Penggerak Masyarakat Orang Asli (PMOA) yang dilantik Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) di Kelantan untuk memberi bimbingan kepada masyarakat Orang Asli yang memeluk Islam berjaya menarik lebih ramai golongan itu mendekati Islam.

Pegawai Tugas-Tugas Khas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Adnan Ab Rahmah berkata, ini kerana hubungan baik PMOA yang menetap sepenuh masa di perkampungan Orang Asli khususnya sekitar daerah Gua Musang.

Katanya, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa berpuas hati dengan khidmat ditawarkan PMOA di perkampungan Orang Asli sejak 1993, menyaksikan ribuan masyarakat Orang Asli di Kelantan berjaya diislamkan.

“Kegigihan PMOA dalam mendekati masyarakat Orang Asli melalui gerakan dakwah secara berterusan berjaya membuka minda serta hati masyarakat itu untuk memilih Islam sebagai agama yang menjamin kesejahteraan hidup dunia dan akhirat.

“Saya dimaklumkan setiap bulan ada program mengislamkan Orang Asli dan inilah fungsi dan komitmen terbaik PMOA yang dilantik itu,” katanya kepada media selepas perasmian penutup Program Dakwah dan Ramah Mesra Masyarakat Orang Asli Koa di Kampung Mendrop, Pos Brooke, di sini, hari ini.

Sebelum itu, beliau yang mewakili Dr Mujahid pada perasmian penutup program berkenaan turut mengislamkan 23 penduduk Orang Asli dengan mengucap dua kalimah syahadah.

Program tiga hari berakhir hari ini dianjurkan bersama Jakim dengan Yayasan Taqwa Wilayah Persekutuan dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa).

Adnan berkata melihat kepada sambutan program yang diadakan itu sudah ada kemesraan dan hubungan baik antara penduduk Orang Asli dengan pelbagai agensi berkaitan.

Bagaimanapun, beliau tidak menafikan berdepan dengan pelbagai cabaran tetapi berjaya dihadapi dengan baik oleh PMOA yang ditugaskan. -BERNAMA


Pengarang :