BERITA UTAMANASIONAL

Jangan ambil rasuah walaupun hanya ‘budak pejabat’ – PM

OLEH NORHAYATI UMOR

PUTRAJAYA, 2 APR: Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengingatkan jentera kerajaan supaya tidak menyalahgunakan kuasa yang dipertanggungjawabkan walaupun hanya seorang ‘budak pejabat’.

Katanya, kakitangan kerajaan merupakan jentera yang dipertanggungjawabkan untuk mentadbir negara dengan baik supaya dihormati dimata dunia.

Mengimbau zaman British ketika dahulu, Mahathir berkata, terdapat seorang budak pejabat yang bekerja dengan Majistret menyalahgunakan kuasa dengan mengambil rasuah apabila mengatur sesuatu temu janji majikannya.

“Ini adalah suatu perkara yang tidak baik dan tidak harus berlaku.

“Walaupun hanya budak pejabat, ia sedikit sebanyak mempunyai kuasa yang boleh merosakkan negara,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Perjumpaan Perdana Menteri bersama kakitangan Jabatan Perdana Menteri (JPM), di Dataran Perdana, di sini.

Mahathir berkata, ilmu yang ditimba ketika menuntut di peringkat Universiti untuk memberi kecekapan dalam menjalankan tugas tidak harus dipersiakan.

“Perlu diingatkan ada bangsa yang berjaya ada bangsa yang gagal. Ini disebabkan oleh sifat-sifat tertentu yang diamalkan.

“Empat nilai hidup iaitu rajin, amanah, disiplin dan bertanggungjawab perlu dipegang bagi memastikan sesuatu bangsa berjaya,” katanya.

Pada masa sama, beliau berkata perhimpunan bulanan berkenaan adalah untuk memperingati perihal tanggungjawab dan bukan sekadar omongan kosong.

Terdahulu, lebih 100 kakitangan kerajaan dari Jabatan Perdana Menteri berhimpun bagi mendengar amanat Perdana Menteri itu.

 


Pengarang :