BERITA UTAMASELANGOR

Jangan malu ada anak autisme, dapatkan rawatan awal

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 14 APR: Ibu bapa yang mempunyai anak bermasalah autisme disarankan untuk mendapatkan rawatan dari awal tanpa rasa malu.

Yang DiPertua Pertubuhan Kebajikan dan Amal Wanita Selangor (PEKAWANIS), Masdiana Muhamad berkata, hal itu kerana lebih awal ibu bapa menyedari dan menerima hakikat serta menjalani rawatan, maka peluang untuk hidup lebih baik cerah.

“Walaupun tiada kaedah kekal bagi mengubati autisme tetapi tindakan awal akan dapat membantu meningkatkan tahap keyakinan kanak-kanak dan membantu mereka melakukan dengan lebih baik dalam kehidupan mereka.

“Kita mahu golongan istimewa ini meneruskan kehidupan yang lebih bermakna dan sekurang-kurangnya berdikari dalam menjalani aktiviti harian,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Perasmian Akademi Headstart dan Komuniti Kantin oleh Austism Cafe Project (ACP), di SACC Mall, di sini, hari ini.

Masdiana berkata, golongan itu seharusnya dihantar ke sekolah khas yang boleh mengubah tingkah laku serta keupayaan mereka walaupun ada ibu bapa mendapati anaknya mempunyai kemahiran dan keupayaan yang spesifik.

Pada masa sama, Masdiana berkata, PEKAWANIS sebelum ini banyak bekerjasama dengan Persatuan Taska negeri dan Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), menjalankan pelbagai program antaranya Smart Parenting di kediaman rasmi Dato’ Menteri Besar.

“Saya melihat tahap kesedaran ibu bapa dalam hal ini juga semakin tinggi dan ini adalah perkara positif dalam pembangunan pendidikan anak istimewa ini.

“Oleh itu, saya menggesa pihak swasta bekerjasama dengan kerajaan memberikan sokongan moral mahupun kewangan dalam menyediakan pendidikan kepada anak autisme.

“Mana-mana pihak yang berkemampuan tampil ke hadapan membantu kerajaan beri sumbangan kepada masyarakat seperti ini,” katanya.

FOTO: ASRI SAPFIE (SELANGORKINI)


Pengarang :