SELANGOR

JAS akan ambil tindakan kilang langgar perintah

OLEH SHEEDA FATHIL

KUALA LANGAT, 19 APR: Jabatan Alam Sekitar (JAS) akan mengambil tindakan undang-undang terhadap kilang yang melanggar perintah dan garis panduan ditetapkan pihak berkuasa untuk beroperasi.

Pengarah JAS Selangor, Shafe’ee Yasin berkata, ekoran kejadian yang diuar-uarkan berlaku di kilang Leoch AccuPower (M) Sdn Bhd di Telok Panglima Garang, pihaknya akan melakukan siasatan dengan lebih terperinci.

Katanya, setakat ini pihaknya sudah menyita kilang berkenaan dan sekiranya didapati bersalah tindakan di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 akan dikenakan.

“Sekiranya aktiviti peleburan plumbum itu didapati positif, hukuman sebanyak RM500,000 atau penjara lima tahun atau kedua-duanya sekali akan dikenakan kepada kilang ini.

“Kini, kita dalam proses akhir menyiapkan kertas siasatan untuk dikemukakan kepada Timbalan Pendakwa Raya Selangor,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas membuat lawatan tapak ke kilang terbabit bersama EXCO Alam Sekitar, Teknologi Hijau, Hal Ehwal Pengguna dan Hal Ehwal Bukan Islam, Hee Loy Sian, di sini, hari ini.

Sementara itu, Shafe’ee berkata, pihaknya juga bakal membuat siasatan terhadap sampel air bawah tanah dan ia akan dihantar ke jabatan kimia untuk keputusan selanjutnya.

“Dalam tempoh yang diberikan Kerajaan Negeri selama dua minggu, kita akan siasat serta keputusan akan diumumkan nanti,” katanya.

Terdahulu, kilang Leoch AccuPower (M) Sdn Bhd yang menjalankan industri bateri itu sudah beroperasi sejak 2014 dengan nilai pelaburan sejumlah RM120 juta daripada pelabur 60 peratus pelaburan asing dan 40 peratus tempatan.

FOTO: REMY ARIFIN (SELANGORKINI)


Pengarang :