JAS siasat dakwaan kebun di Johan Setia, Klang sengaja dibakar bagi tujuan membersihkan tanah tersebut.
SELANGOR

JAS aktif pelan hadapi musim kering

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 7 APRIL: Bagi menghadapi musim kering, Jabatan Alam Sekitar (JAS) Selangor mengaktifkan Pelan Tindakan Pencegahan Pembakaran Terbuka, prosedur operasi standard dan program pencegahan kebakaran di tanah gambut Johan Setia, mulai Januari lalu.

Pengarahnya, Shafe’ee Yasin berkata, pihaknya turut menguatkuasakan kerja di luar waktu dari 2 petang hingga 11 malam bagi membolehkan rondaan pemantauan mencegah aktiviti pembakaran terbuka terutama aktviti pertanian.

Katanya, bilangan rondaan dan pemantauan di kawasan berisiko berlakunya pembakaran terbuka juga ditingkatkan siang dan malam.

“JAS juga meningkatkan penggunaan ‘drone’ untuk memantau kejadian pembakaran terbuka dan meneruskan tindakan mengkompaun serta membuka kertas siasatan untuk pertuduhan di mahkamah di bawah Seksyen 29A, AKAS 1974 bagi kesalahan ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Gambut Trail Run #StopOpenBurning, di Sekolah Kebangsaan Johan Setia, di sini.

Pada masa sama, Shafe’ee berkata, pembakaran terbuka turut berlaku di kawasan lain, antaranya tapak pembinaan melalui sisa kayu atau sisa bahan binaan yang dibakar pada waktu malam.

Manakala di luar bandar katanya, pembakaran sering membabitkan sisa daun kering, cantasan pokok dan sisa kebun sebelum tanaman semula pokok baru dijalankan.

“Bagi kawasan pertanian Johan Setia, aktiviti pembakaran terbuka sering dilakukan pekebun yang menjalankan aktiviti pertanian semasa kerja penyediaan batas untuk tanaman semula,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata, pihaknya komited menjalankan pelbagai aktiviti kesedaran termasuk seminar, ceramah dan pameran di kawasan yang mudah terbakar terutama pada musim panas dan kering.

“Gegantung juga diletakkan di kawasan larangan pembakaran terbuka dan kawasan awam lain yang strategik,” katanya.


Pengarang :