Jawatankuasa nilai kondisi aset milik Bomba ditubuh | Selangorkini


About the contributor

Norway

Pengarang

Hafizan Taib

Jawatankuasa nilai kondisi aset milik Bomba ditubuh

KUALA LUMPUR, 19 APR: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan membentuk sebuah jawatankuasa dalaman untuk menilai kondisi keseluruhan aset jentera milik Jabatan Bomba dan Penyelamat yang dikatakan rosak dan tidak berkualiti.

Menteri berkenaan, Zuraida Kamaruddin berkata, jawatankuasa yang dipengerusikan Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) kementerian, Zamri Salleh itu turut dianggotai oleh wakil Bahagian Kewangan, Unit Audit Dalaman, Unit Integriti, Bahagian Undang-Undang serta Bahagian Pembangunan dan Pelaksanaan Projek.

Beliau berkata, jawatankuasa ini akan membangunkan pelan penilaian yang komprehensif dengan melaksanakan kajian terperinci termasuk menilai semula proses perolehan, punca kerosakan dan kualiti jentera sedia ada.


“Ini bagi memastikan keupayaan Jabatan Bomba dan Penyelamat terus berada pada tahap yang paling optimum.

“Penilaian yang dibuat jawatankuasa itu turut akan melihat sama ada proses perolehan yang dijalankan sebelum ini adalah telus dan berintegriti dengan mengikut ketetapan peraturan-peraturan perolehan yang betul,” katanya dalam kenyataan.

Sementara itu, beliau berkata, hasil tinjauan awal Ketua Setiausaha kementerian Datuk Seri Mohammad Mentek di depoh pembaikan kenderaan Jabatan Bomba dan Penyelamat menunjukkan maklumat mengenai kondisi jentera yang dipaparkan dalam laporan media iaitu melalui gambar dan rakaman video adalah kurang tepat.

“Bukan semua kenderaan yang dipaparkan berstatus rosak dan terbengkalai. Ini kerana sebahagian besar kenderaan berstatus sedang dibaiki, menjalani servis berkala, proses pandu uji, proses siasatan kemalangan dan proses pelupusan,” katanya.

Sebelum ini, sebuah akhbar tempatan melaporkan 97 jentera bomba bernilai RM165 juta didakwa tersadai akibat kerosakan komponen dan kegagalan pembekal membekalkan alat ganti jentera berkenaan.

SUMBER: BERNAMA

Media Selangor Mobile App

Membawakan kepada anda berita terkini daripada Selangorkini, aplikasi mudah alih Media Selangor membekalkan kepada anda sumber yang dipercayai untuk liputan berita yang pantas di mana sahaja dan pada bila bila masa


Smiley face Smiley face


Kongsikan ini :

BERITA BERKAITAN

Prev
Next