BERITA UTAMA SELANGOR

Jelajah Maju Bersama Daerah Kuala Selangor bermula

OLEH AFIX REDZUAN

KUALA SELANGOR, 26 APRIL: Dato’ Menteri Besar memulakan program Jelajah Maju Bersama ke Daerah Kuala Selangor hari ini, bagi mendekati rakyat serta melihat lebih dekat permasalahan di kawasan setempat.

Bermula seawal 6 pagi, Amirudin Shari tiba di perkarangan Masjid Jamek Sultan Ibrahim bagi menunaikan solat Subuh berjemaah.

Usai di masjid, beliau bergerak ke Restoran Miah Corner, Taman Bendahara bagi menikmati sarapan disediakan sambil beramah mesra bersama penduduk setempat.

Pengunjung restoran turut mengambil peluang bersalaman dan merakam gambar kenangan bersama Amirudin.

Daerah Kuala Selangor merupakan lokasi terakhir Jelajah Maju Bersama sebelum menyambut ketibaan Ramadan, awal Mei depan.

Beliau yang juga Ahli Dewan Negeri Sungai Tua dijadualkan menghadiri perhimpunan pagi bersama penjawat awam serta mendengar taklimat pembentangan laporan daerah Kuala Selangor.

Sekitar 10 pagi, beliau akan berada di Dewan Raja Lumu, Pejabat Agama Daerah Kuala Selangor bagi sesi ‘townhall’ sebelum berangkat ke Masjid Jamiul Muhammadiah, Kampung Kuantan untuk menunaikan solat Jumaat.

Jelajah itu juga akan disertai EXCO Kerajaan Negeri di beberapa lokasi ditetapkan sebelum berkumpul dan melawat Selangor Fruit Valley, Bestari Jaya.


Pengarang :