SELANGOR

Jelajah Maju Bersama teroka Kuala Langat

OLEH SHEEDA FATHIL

KUALA LANGAT, 12 APRIL: Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari, memulakan lawatan kerja melalui program Jelajah Maju Bersama ke daerah Kuala Langat, hari ini.

Program dimulakan dengan menunaikan solat Subuh berjemaah bersama penduduk setempat di Masjid Jamek As-Solihin, Kanchong Darat, pagi tadi.

Beliau seterusnya memulakan perhimpunan pagi bersama penjawat awam di Dewan Sri Jugra, Telok Datok sebelum mempengerusikan mesyuarat Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN), di Pejabat Daerah dan Tanah Kuala Langat.

Beliau kemudiannya dijadual menunaikan solat Jumaat di Masjid At-Taqwa, Banting sebelum memulakan lawatan tapak di beberapa kawasan sekitar Kuala Langat.

Seusai solat Jumaat, Amirudin akan melawat tapak Paragliding, Bukit Jugra untuk mencuba sendiri sukan lasak itu disusuli lawatan ke Taman Rekreasi Paya Bakau, Sijangkang.

Manakala, pada sebelah petang pula Amirudin melakukan lawatan ke Ladang Teh Boh Plantation, Bukit Cheeding, Banting.

Program bakal diteruskan dengan mengadakan lawatan bagi menyelesaikan masalah kesesakan Jalan Bandar Saujana Putra, Surau Al-Ikhlas, di sini.

Manakala, pada sebelah malam pula, Amirudin akan mengadakan Sesi Townhall bersama wakil penduduk bagi mendengar sendiri permasalahan rakyat di daerah terbabit.

Jelajah Maju Bersama adalah pendekatan Amirudin yang menjadi mata dan telinga, sekali gus mencari penyelesaian tuntas terhadap permasalahan rakyat, di Selangor.

Kerajaan Negeri akan memastikan setiap daerah tidak tercicir dalam enam kluster pintar sedia ada membabitkan pendidikan, pekerjaan, perumahan, kekeluargaan, kesihatan dan kebajikan.

 


Pengarang :