SELANGOR

Jelajah Pendidikan Selangor siri pertama 7 April

OLEH ZAIM BADRUL HISHAM

SHAH ALAM, 1 APR: Siri pertama Jelajah Pendidikan Selangor 2019 (JPS2019) bakal diadakan di zon utara pada Ahad ini.

Menurut kenyataannya di Facebook, program itu terbuka kepada semua lepas Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan setaraf yang ingin melanjutkan pelajaran ke Institut Pengajian Tinggi (IPT).

Program yang membabitkan daerah Kuala Selangor, Sabak Bernam dan Hulu Selangor itu akan berlangsung di Stadium Tertutup, Kompleks Sukan Kuala Selangor bermula jam 8 pagi hingga 5 petang.

Sesi jelajah kali ini bakal menampilkan ikon pendidikan, Caprice Ariz bersama Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari dan Ahli Dewan Negeri (ADN) Bukit Melawati, Juwairiya Zulkifli.

Pada masa sama, pelbagai pihak seperti Jabatan Pendidikan Negeri Selangor (JPNS), Lembaga Zakat Selangor, Yayasan Selangor, Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), IPT dan institut kemahiran akan hadir bagi memberi penerangan, kaunseling serta maklumat kepada peserta yang hadir.

Peserta yang hadir turut berpeluang memohon biasiswa dan bantuan kewangan secara terus kepada pihak terbabit.

Yuran penyertaan adalah percuma dan pendaftaran boleh dibuat di pautan www.jelajahpendidikanselangor.com

Tarikh tutup penyertaan pada 4 April ini.

Sebarang pertanyaan boleh hubungi 03-56260026 dan 011-50011000.


Pengarang :