BERITA UTAMASELANGOR

Jemaah sebak doa lindungi Palestin

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 6 APRIL: Suasana hiba menyelubungi Dataran Kemerdekaan Shah Alam, di sini, malam tadi ketika imam membacakan doa seusai solat hajat sempena program Munajat Untukmu Gaza.

Program bersama Majlis Bandaraya Shah Alam dengan kerjasama Pertubuhan Asatizah Care, Pertubuhan Kebajikan Ehsan Ummah Selangor dan Amal Relief Malaysia itu meruntun hati kira-kira 500 jemaah yang turut serta menunaikan munajat berkenaan.

Ia antara lain memohon Allah melindungi rakyat Palestin di Gaza susulan penindasan rejim Israel yang melancarkan serangan ke atas negara berkenaan dan menambah bilangan tentera mereka di kawasan sempadan sebagai tindak balas pelancaran oleh Hamas.

Pengarah Program, Azrul Hakim Suradi berkata, menjadi tanggungjawab seluruh umat Islam untuk bersama berganding bahu membantu saudara di Gaza yang menjadi mangsa serangan tragis regim Israel.

Katanya, lebih menyayat hati, serangan yang sudah beberapa kali berlaku di negara berkenaan bukan sahaja memusnahkan semua harta benda, bahkan menyebabkan kecederaan dan kematian.

“Kita membantu masyarakat Islam di Palestin sekadar yang mampu dengan dana yang dikutip dan lebih penting iringan doa akan sentiasa bersama mereka memandangkan kita tidak mampu untuk pergi ke sana.

“Pembabitan pertubuhan badan bukan kerajaan termasuk orang ramai dalam program ini membantu kita meneruskan misi membantu masyarakat Islam di sana,” katanya ketika ditemui SelangorKini.

Terdahulu, aturcara majlis dimulakan dengan solat Maghrib dan Isyak berjemaah disusuli solat hajat perdana dan munajat serta ucapan daripada Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Abd Samad.

Majlis turut diselingkan dengan deklamasi sajak bertajuk ‘Untukmu Gaza’ daripada Timbalan Datuk Bandar Shah Alam, Mohd Rashidi Ruslan dan persembahan dua buah lagu dendangan Salam Relief Buskers.

Antara pimpinan yang hadir ialah Ahli Parlimen Hulu Langat, Hasanuddin Mohd Yunus; EXCO Kesihatan, Kebajikan, Pemberdayaan Wanita Dan Keluarga, Dr Siti Mariah Mahmud; EXCO Infrastruktur & Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian Dan Industri, Ir Izham Hashim serta Ahli Dewan Negeri Kota Anggerik, Najwan Halimi termasuk wakil pemimpin Hamas dari Gaza, Brother Monar Salim

Dalam majlis sama, Tabung Kemanusiaan Untukmu Gaza turut dilancarkan dengan jumlah kutipan setakat ini mencecah RM20,000.

Orang ramai yang mahu menghulurkan sumbangan boleh disalurkan menerusi akaun RHB Islamic Bank Berhad (26262500005058).


Pengarang :