SELANGOR

JKKP Selangor lapor 54 kematian berlaku kurang kesedaran

OLEH SHEEDA FATHIL

SUBANG JAYA, 30 APR: Sebanyak 54 kematian dilaporkan berlaku di negeri ini pada 2017 membabitkan kemalangan di tempat kerja, kata Pengarah Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Selangor, Ir Ibrahim Md Dol.

Katanya, ia berikutan kurangnya kesedaran dalam kalangan pekerja dan majikan terhadap Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (KKP) di tempat kerja.

Beliau berkata, ekoran jumlah yang terlalu tinggi pihaknya berusaha untuk melaksanakan pelbagai program atau kempen kesedaran kepada majikan dan pekerja bagi mengurangkan kes itu.

“Pelbagai program dilaksanakan bagi mendidik majikan dan pekerja berkaitan keselamatan bertujuan mengurangkan kadar kemalangan maut sedia ada sekurang-kurangnya kepada 20 peratus.

“Bagaimanapun, pekerja dan majikan digesa memainkan peranan bagi mengurangkan kadar kematian serta kemalangan pekerjaan negara selari dengan objektif Pelan Induk KKP 2020,” katanya kepada SelangorKini.

Beliau berkata demikian ketika Sidang Media selepas merasmikan Program “Leading Towards Reducing Fatality Accident Rate In Selangor By 2023” di Hotel Holiday Villa, di sini, hari ini.

Mengikut statistik data kemalangan di Malaysia secara keseluruhan pada 2017 adalah 42,513 kes dengan 711 kematian.

Manakala, sebanyak 1,002 kes kemalangan dilaporkan berlaku secara keseluruhan pada 2017.

Terdahulu, menerusi program itu tiga inisiatif diperkenalkan merangkumi Pelanggaran KKP Sifar, Ketidakpatuhan KKP Sifar dan Kemalangan Pekerjaan Sifar.

FOTO: REMY ARIFIN (SELANGORKINI)


Pengarang :