SELANGOR

JKS ambil inisiatif dekati penduduk

OLEH UMIRAH IZRIN MOHAMAD SAID

SEMENYIH, 14 APR: Jabatan Kesihatan Selangor (JKS) mengambil initiatif mendekati penduduk supaya peka dengan status kesihatan mereka melalui program Hari Kesedaran Kesihatan Taman Tasik Semenyih (TTS), hari ini.

Pegawai Perubatan Klinik Kesihatan Semenyih, Dr Nawal Kamarul Bahrin berkata, program yang diadakan itu membuka peluang kepada penduduk untuk mengetahui keadaan kesihatan mereka.

“Melalui program ini, penduduk sekitar akan menghadapi ujian saringan kesihatan asas seperti tekanan darah, paras gula dan saringan dispepsia kerana kebanyakan penduduk tidak berpeluang untuk datang ke klinik kesihatan yang berdekatan.

“Pada masa sama, ia memberi fokus terutamanya golongan wanita untuk mengenal pasti tanda awal kanser serviks yang semakin membimbangkan,” katanya kepada SelangorKini.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Hari Kesedaran Kesihatan TTS di Dewan Serbaguna TTS, di sini, hari ini.

Turut hadir, Ahli Parlimen Hulu Langat, Datuk Hasanuddin Mohd Yunus yang merasmikan program berkenaan.

Terdahulu, Kementerian Kesihatan Malaysia menjalankan pelbagai program
untuk memupuk kesedaran kesihatan terutamanya warga Selangor bagi mencegah pelbagai penyakit ekoran ia masih pada tahap rendah dalam kalangan masyarakat.


Pengarang :