KUALA LUMPUR , 17 April — Skuad unit peronda bermotosikal Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) wanita yang pertama yang dianggotai oleh (dari kanan) Siti Syazwani hajizin, Asma’ Shafie dan Wah Moliz anak Bahlong ketika menunggang motosikal peronda berkuasa tinggi di Jabatan Pengangkutan Jalan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, hari ini. –fotoBERNAMA (2019) HAK CIPTA TERPELIHARA
NASIONAL

JPJ KL miliki anggota penguat kuasa bermotosikal wanita pertama

KUALA LUMPUR, 17 APRIL: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur mencipta sejarah sebagai jabatan pertama di bawah agensi itu mempunyai anggota Unit Penguat kuasa Bermotosikal (UPB) wanita, di negara ini.

Tiga anggota wanita iaitu Wah Moliz a/p Bah, 28, iaitu anak Orang Asli dari suku Semai berani menyahut cabaran Pengarah JPJ untuk menyertai UPB bersama Asma Shafie, 24, dan Siti Syazwani Hajizin, 27.

Wah Moliz yang berasal dari Gopeng, Perak itu berkata, minatnya terhadap motosikal berkuasa tinggi menjadi faktor beliau menyertai unit terbabit setelah menyertai pelbagai kursus ditetapkan jabatan.

“Unit ini memang hanya dianggotai lelaki tetapi sekarang JPJ membuka peluang anggota wanita menyertainya. Ini membuktikan wanita juga mampu bersaing serta mengendalikan motosikal berkuasa tinggi untuk tugasan seperti mengiring kenderaan atau lain-lain.

“Latihan serta kursus yang kami jalani sama seperti anggota lelaki, cuma cabaran utama memang kena ada stamina yang tinggi kerana motosikal ini berat,” katanya kepada pemberita selepas Sambutan Hari JPJ ke-73 peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur di sini, hari ini.

Bagi Siti Syazwani pula, beliau tidak menyangka dapat menyertai unit itu memandangkan baru dua tahun bertugas dalam JPJ.

“Perkara yang paling saya ingat ketika menjalani kursus apabila kami anggota wanita perlu mengangkat motosikal Kawasaki Versys 650cc yang beratnya hampir 200 kilogram.

KUALA LUMPUR , 17 April — Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Datuk Ismail Mohd Zawawi ketika beramah mesra bersama skuad unit peronda bermotosikal JPJ wanita yang pertama yang dianggotai oleh (dari kiri) Siti Syazwani hajizin, Wah Moliz anak Bahlong dan Asma’ Shafie di Jabatan Pengangkutan Jalan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, hari ini.
–fotoBERNAMA (2019) HAK CIPTA TERPELIHARA

“Memang kami perlu tahu cara mengangkat motosikal itu jika ia terjatuh…ada cara dan teknik tertentu yang perlu dipelajari.

“Setakat ini, kami anggota wanita sudah menunggang motosikal sehingga ke Melaka dan akan menjalani pelbagai lagi kursus untuk memantapkan kemahiran kami,” katanya.

Sementara itu, Pengarah JPJ, Datuk Ismail Mohd Zawawi berkata, penyertaan tiga anggota wanita berkenaan sebagai langkah permulaan memberi pendedahan kepada anggota wanita untuk membabitkan diri dalam unit itu.

“Idea untuk memasukkan anggota wanita tercetus awal tahun ini. Saya cabar anggota wanita untuk sertai UPB dan ternyata mereka mampu lakukan,” katanya. -BERNAMA


Pengarang :