KUALA LUMPUR , 17 April — Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Datuk Ismail Mohd Zawawi ketika memeriksa perbarisan anggotanya pada majlis perhimpunan khas sempena Hari Jabatan Pengangkutan Jalan Malaysia ke- 73 di Jabatan Pengangkutan Jalan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, hari ini. –fotoBERNAMA (2019) HAK CIPTA TERPELIHARA
NASIONAL

JPJ tahan sembilan ulat teksi di TBS

KUALA LUMPUR, 17 APRIL: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur menahan sembilan lelaki yang menjalankan kegiatan ulat teksi di Terminal Bersepadu Selatan (TBS).

Pengarahnya, Datuk Ismail Mohd Zawawi berkata, kesemua suspek berumur 40 hingga 60 tahun itu ditahan dalam operasi bermula Mac hingga Rabu lalu.

“Ulat teksi ini akan mendesak atau memujuk pelanggan menggunakan khidmatnya dan meminta bayaran RM30 jika mereka ingin mendapatkan kenderaan ke mana-mana destinasi.

“Berdasarkan risikan, operasi ulat teksi ini kebiasaannya bermula 4 pagi hingga 7 pagi,” katanya kepada pemberita selepas sambutan Hari JPJ ke-73 peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur di sini, hari ini.

Beliau berkata, 16 anggota JPJ ditempatkan di TBS bagi membanteras kegiatan seperti ulat teksi dan ulat tiket serta memantau perjalanan bas.

“Bagi lokasi seperti Hentian Duta pula, JPJ akan menempatkan anggota jika menerima aduan kegiatan ulat tiket di lokasi terbabit,” katanya.

Mengulas penahanan 23 anggota JPJ Pulau Pinang semalam, Ismail mengingatkan anggotanya untuk sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan dan tidak terlibat dalam rasuah.

Katanya, pihaknya tidak berkompromi dengan anggota terlibat rasuah atau melanggar SOP selain unit integriti JPJ akan memantau anggota yang melakukan tugas di lapangan.

“Sekiranya ada anggota yang membuat kesalahan, siasatan akan dijalankan terlebih dahulu sebelum tindakan tatatertib dikenakan,” katanya.

Semalam, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) Suruhajaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Datuk Seri Azam Baki berkata, pihaknya menahan 31 individu termasuk 23 anggota penguat kuasa JPJ Pulau Pinang kerana disyaki melindungi pemandu lori yang melakukan kesalahan jalan raya di sekitar negeri itu. -BERNAMA


Pengarang :