NASIONAL

JPJ tubuh jawatankuasa khas tambah baik prosedur kerja

PUTRAJAYA, 20 APRIL: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menubuhkan sebuah jawatankuasa khas bagi mengkaji semula prosedur dan amalan kerja jabatan itu dalam usaha menangani isu salah guna kuasa serta rasuah dalam kalangan anggotanya.

Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Shaharuddin Khalid berkata, jawatankuasa khas ditubuhkan minggu lalu itu diberi tempoh dua minggu untuk menyediakan laporan dan cadangan penambahbaikan terhadap prosedur serta amalan kerja yang dilaksanakan ketika ini.

“Jawatankuasa khas diketuai Pengarah Bahagian Integriti JPJ itu akan melihat semula setiap prosedur dan amalan kerja serta mengenal pasti ruang yang membolehkan gejala rasuah berlaku.

“Mereka diberi ruang secukupnya untuk menyediakan laporan serta cadangan penambahbaikan, dan kita juga akan berkongsi laporan itu dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM),” katanya pada sidang media selepas Ops Khas Lebih Muatan di sini hari ini.

Shaharuddin berkata penubuhan jawatankuasa khas itu tidak hanya menumpukan kepada kes tangkapan anggota penguatkuasa JPJ Pulau Pinang oleh SPRM, tetapi melibatkan usaha penambahbaikan jabatan secara keseluruhan.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata penahanan 22 lagi anggota penguatkuasa jabatan itu oleh SPRM hari ini, menjadikan jumlah keseluruhan 46 orang tidak merencatkan pengoperasian JPJ di Pulau Pinang.

PUTRAJAYA, 20 April — Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Datuk Seri Shaharuddin Khalid ketika sidang media di Kementerian Pengangkutan mengenai ‘Ops Tutup’ di sekitar daerah Sepang hari ini.
–fotoBERNAMA (2019) HAK CIPTA TERPELIHARA

Shaharuddin berkata walaupun dianggap sebagai di luar jangkaan, pihaknya akur tindakan penahanan secara beramai-ramai oleh SPRM itu adalah baik sebagai permulaan perubahan secara menyeluruh prosedur dan amalan kerja jabatan itu.

Pada Selasa lalu, SPRM menahan 24 anggota penguatkuasa JPJ kerana dipercayai terlibat dalam kegiatan rasuah dengan melindungi pemandu lori yang melakukan kesalahan jalan raya, khususnya membawa lebih muatan.

Hari ini, SPRM mengesahkan 22 lagi penguatkuasa JPJ Pulau Pinang ditahan di Ibu Pejabat SPRM negeri itu kerana disyaki terlibat rasuah.

Mengenai Ops Khas Lebih Muatan, Shaharuddin berkata operasi di sekitar Lembah Klang itu menahan 20 lori yang melanggar Akta Pengangkutan Awam Darat (APAD) 2010 kerana membawa lebih muatan.

Sementara, 30 lori ditahan atas pelbagai kesalahan di bawah Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987, antaranya meletakkan kenderaan di lorong kecemasan, tiada lesen memandu dan tidak memiliki lesen kenderaan perdagangan, katanya. -BERNAMA


Pengarang :